SUKNES: Jangan politikkan program sukan

- Advertisement -

SEREMBAN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker menggesa agar kerajaan negeri tidak mempolitikkan program sukan di negeri itu.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia susulan tindakan kerajaan negeri yang tidak menyalurkan peruntukan khas bagi program Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2024 kepada ADUN-ADUN pembangkang bagi program tersebut.

“Kita sedia maklumlah memang di Negeri Sembilan, pembangkang tidak akan diberi sebarang peruntukan. Tak tahulah kalau Yang Berhormat Sikamat (Menteri Besar) ada pendirian yang baru. Cuma saya nak bagi tahu, kalau tidak memberi peruntukan ini kepada ADUN pembangkang, tiada masalah. 

“Tetapi perlu dijelaskan sebaik mungkin di kawasan pembangkang siapa yang bertanggungjawab untuk di kawasan pembangkang menyelia program-program ni?” ujarnya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Ke 15 hari ini sewaktu mencelah kepada soalan asal Dato’ Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) pada ‘Sesi Pertanyaan Jawab Lisan’ berkaitan penganjuran sukan tersebut.

Jelas Hanifah, sebagai ADUN, beliau menerima banyak persoalan daripada penduduk-penduduk ataupun anak-anak muda termasuk di kawasan-kawasan lain yang disandang pembangkang. 

“Mereka menganggap kami menerima peruntukan, walhal banyak aktiviti ni mungkin tanpa keterlibatan daripada ADUN pembangkang, disebabkan pada masa itu belum ada penyelaras.

“Jadi saya mohon pada masa akan datang jangan jadikan sukan ni satu isu politik. Walhal walaupun tak memberi peruntukan kepada kami,” katanya.

Tambahnya, beliau bersama ADUN Perikatan Nasional yang lain bersedia untuk menyertai dengan kos sendiri demi untuk manfaat kepada penduduk-penduduk di kawasan mereka.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang bangun mewakili kerajaan negeri untuk menjawab persoalan itu berkata, semua peruntukan itu adalah di bawah Pejabat Menteri Besar.

“Bagi kawasan sama ada DUN yang diwakili oleh kerajaan ataupun DUN yang diwakili oleh pembangkang akan diuruskan peruntukan yang telah pun diluluskan kepada Belia dan Sukan negeri untuk dimanfaatkan bagi membiayai kejohanan yang sekitar dalam 30 ke 40 peratus bagi kejohanan di peringkat negeri,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -