
KUALA TERENGGANU: Acara Terengganu International Bike Week (TBW) 2024 yang akan diadakan pada 28 hingga 30 Jun depan di Dataran Shahbandar menawarkan cabutan bertuah Harley-Davidson Nightster 975 sebagai hadiah utama.
Presiden East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, pihaknya membawa sedikit kelainan pada penganjuran kali ini dengan meningkatkan lagi nilai hadiah tersebut.
“Bagi hadiah cabutan bertuah kedua ialah motorsikal Yamaha RXZ, ketiga Yamaha NVX,” katanya pada sidang media mengeni TBW 2024 di Hotel Paya Bunga di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman.
Mengulas lanjut kata Tengku Baharuddin, bagi peserta yang ingin menyertai acara TBW, untuk pendaftaran akan dikenakan bayaran sebanyak RM130.
“Kita hadkan kepada 3,000 peserta sahaja sebab kita ada had limit tempat. Tahun lepas hanya 1,500 ke 2,000 peserta sahaja untuk daftar, kali ini kita tambah lagi,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi mereka yang ingin menyertai acara berkenaan perlu mengikuti polisi yang ditetapkan yang mana motosikal perlu lulus syarat 250 CC ke atas.
Sementara itu, Tengku Baharuddin berkata, tujuan utama acara berkenaan diadakan bukan sekadar menarik komuniti penunggang motosikal sahaja, ia juga termasuk menarik pelancong domestik daripada dalam dan luar negara yang meminati dunia pemotoran dua roda.
Selain itu, katanya, TBW juga akan membawakan produk asal negeri ini termasuk makanan, kraftangan asli dari seluruh pelosok daerah negeri Terengganu untuk dipromosikan.
“Jadi kita nak promosikan budaya Terengganu. Kita mendapati orang datang untuk kembali bukan hanya penunggang motosikal, tetapi kita nak orang datang balik ke Terengganu ini bersama dengan keluarga.
“Kita mahu tempat-tempat yang mana boleh mereka pergi untuk melawat khususnya seperti Dataran Batu Putih di Marang yang sekarang ini sedang membangun untuk kopi nisan original datang daripada Marang,” ujarnya.
Katanya, acara itu turut dikolobrasikan bersama Brand Choii untuk T-shirt rasmi TBW pada musim ini.
“Kita juga akan ada aktiviti sampingan bersama agensi kerajaan dari segi pelancongan, PDRM, bomba, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk memuaskan lagi siapa yang datang mengunjung,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024











