
LUMUT: Tujuh mangsa yang terdiri daripada empat kru dan tiga penumpang maut dan dua helikopter dilaporkan terhempas semasa membuat latihan di Kem Tentera di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 9.50 pagi sebelum dua jentera penyelamat dikejarkan ke lokasi.
TLDM dalam kenyataan media berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim HOM (M503-3) dan sebuah helikopter Fennec (M502-6) telah terhempas ketika sesi raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.
“Insiden berkenaan melibatkan seramai 10 mangsa masing-masing tujuh kru helikopter HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM; dan kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM untk proses pengecaman,” ujar kenyataan itu.
TLDM dalam kenyataan media mengesahkan tujuh daripada 10 mangsa terbabit ialah empat orang kru dan tiga penumpang di dalam pesawat HOM (M503-3).
Mereka terdiri daripada Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli (TLDM), selain tiga lagi kru – Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin (TLDM), Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzhuki (TLDM); dan Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; serta tiga penumpang masing-masing ialah Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; dan Laskar Kelas I JJIM, Joanna Felicia anak Rohna.
Sementara mangsa di dalam helikopter Fennec (M502-6) pula ialah tiga kru terdiri daripada Komander Muhammad Amir Mohamad (TLDM) Pegawai Memerintah Skuadron 502, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan (TLDM) dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Sehubungan itu, TLDM dalam kenyataan tersebut berkata, pihaknya akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TLDM juga memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan,” tegas kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 23/4/2024
Artikel Berkaitan:











