Tentera Israel bunuh tiga anak Ismail Haniyeh

Ismail Haniyeh mengenal pasti tiga anaknya yang terbunuh ialah Hazem, Amir dan Mohammad.
- Advertisement -

GAZA: Serangan Israel di utara Gaza mengorbankan tiga anak lelaki pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh ketika Israel meneruskan pengeboman terhadap kawasan yang dikepung ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

Dalam temu bual dengan Al Jazeera Arabic, Ismail mengesahkan pembunuhan anak-anaknya, Hazem, Amir dan Mohammad bersama beberapa cucunya semalam.

- Advertisement -

Agensi berita Shehab pula melaporkan bahawa sekurang-kurangnya tiga cucu pemimpin Hamas itu juga terbunuh dalam serangan itu.

“Melalui darah syuhada dan kesakitan mereka yang cedera, kami mencipta harapan, kami mencipta masa depan, kami mencipta kemerdekaan dan kebebasan untuk rakyat kami dan negara kami,” katanya yang memberitahu bahawa kira-kira 60 ahli keluarganya, termasuk anak saudara terbunuh sejak perang bermula.

Beliau mengecam kekejaman Israel di Gaza dan menegaskan bahawa pemimpin Palestin tidak akan berundur walaupun keluarga dan rumah mereka menjadi sasaran.

“Tidak dinafikan bahawa musuh penjenayah ini didorong oleh semangat membalas dendam, pembunuhan dan pertumpahan darah serta tidak mematuhi sebarang piawaian atau undang-undang,” kata Ismail.

Tentera Israel kemudian menyatakan bahawa serangan itu menyasarkan tiga anak lelaki Ismail, menggambarkan mereka sebagai sebahagian operasi tentera Hamas yang “menjalankan aktiviti keganasan di kawasan tengah Semenanjung Gaza”. Kenyataan Israel tidak menyebut cucu pemimnpin Hamas yang terbunuh dalam serangan itu.

Awal bulan ini, rejim Zionis Israel mengumumkan pengunduran tentera dari selatan Gaza dengan alasan “bersedia untuk operasi masa depan”, tetapi serangan Israel ke atas rakyat Palestin di seluruh semenanjung itu itu masih berterusan.

Hamas menyiarkan rakaman pada Selasa lalu mengenai serangan hendap yang membunuh sekurang-kurangnya 10 tentera Israel di bandar selatan Gaza, Khan Younis. Israel mengumumkan kematian empat tentera negara itu di Gaza, minggu ini.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Ismail berkata, serangan ke atas keluarganya membuktikan kegagalan Israel yang terus berdepan pejuang Palestin di Gaza, serta menegaskan bahawa pembunuhan itu tidak akan mengubah kedudukan Hamas dalam rundingan gencatan senjata tidak langsung yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, Hamas tidak akan menarik balik tuntutan Palestin, termasuk gencatan senjata kekal dan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal dibenarkan kembali ke rumah mereka.

“Jika mereka fikir bahawa menyasarkan anak-anak saya ketika kemuncak rundingan ini sebelum maklum balas pergerakan (Hamas) dikemukakan akan menyebabkan Hamas mengubah kedudukan, mereka berkhayal,” kata Ismail merujuk kepada Israel.

“Darah anak-anak saya tidak lebih berharga daripada darah anak-anak rakyat Palestin…semua syuhada Palestin adalah anak-anak saya.”

Hamas pula mengulangi mesej Ismail bahawa keganasan Israel yang semakin kejam dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza tidak akan memperbaiki kedudukan rundingan Israel.

Pergerakan itu berkata, Haniyeh menerima panggilan mengucapkan takziah daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani dan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menyifatkan serangan maut ke atas ahli keluarga Ismail, semalam sebagai “pembunuhan beramai-ramai” ketika umat Islam merayakan Aidilfitri.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah Israel yang berterusan terhadap rakyat kami. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, hospital menerima lebih 24 orang yang terbunuh dengan darah dingin Israel tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan umat Islam,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

“Kami menganggap pentadbiran Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa dan pendudukan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembunuhan beramai-ramai dan jenayah berterusan yang sedang dilakukan sebagai sebahagian pemusnahan dan pembersihan etnik terhadap orang awam, wanita, kanak-kanak dan mereka yang dipaksa berpindah.” – AL JAZEERA

- Advertisement -