
MASJID TANAH: Selain rendang ayam dan daging, hidangan hari raya pertama di rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman turut menghidangkan lauk-pauk ala Negeri Sembilan.
Menurutnya, ini kerana isterinya yang berasal dari negeri Adat Perpatih itu menjadikan lauk-pauk yang dihidangkan pada pagi raya pertama ada pengaruh negeri itu.
“Rendang ayam daging itu macam biasa ada. Selain itu ada lauk-pauk Negeri Sembilan seperti masak lemak cili padi, perut lembu, ayam yang pedas-pedas.
“Isteri saya orang Negeri Sembilan. Jadi memang ada lauk-pauk macam tu selain lauk-pauk yang biasa ada hari raya,” katanya kepada Harakahdaily.
Dari segi biskut raya pula, beliau sendiri tidak cerewet dan meminati biskut tart.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah berkata, amalan berkumpul bersama adik-beradik masih diamalkan sehingga sekarang hasil didikan ibu bapanya dan generasi terdahulu.
“Adik-beradik saya ada semuanya ada tujuh orang, yang masih hidup lima orang. Tiga daripadanya berada di Melaka.
“Jadi setiap tahun pada hari kedua adik-beradik saya dan keluarga mereka akan berkumpul di rumah saya sebab dahulu rumah saya ini adalah rumah ibu,” katanya lagi.
Tambah beliau, walaupun pada masa ini mereka tidak lagi bermalam di rumahnya kerana keluarga yang semakin besar, namun mereka berkumpul secara harian dan sesetengahnya akan menginap di homestay berhampiran.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam terutama kepada warga Parlimen Masjid Tanah dan mendoakan agar lebaran kali ini dilimpahi rahmat dan keampunan hasil daripada segala amalan yang dilakukan pada Ramadan lalu. – HARAKAHDAILY 10/4/2024











