
KUALA LUMPUR: PAS dapati kenyataan media Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) bahawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah ‘akan menjadi tidak berperlembagaan’ adalah tersasar dan bermasalah dalam banyak segi, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau merujuk laporan akhbar Malay Mail pada 2 April lepas, majlis itu beranggapan cadangan pindaan tersebut tidak berperlembagaan (unconstitutional) dan bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan atas alasan kesalahan jenayah berkaitan telah pun termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada sebagaimana yang disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pertama, katanya sebagai pertubuhan yang bertujuan mewujudkan persefahaman, sikap saling hormat-menghormati dan kerjasama antara penganut pelbagai agama, MCCBCHST sepatutnya tidak mencampuri atau dilihat cuba mencampuri urusan, hal ehwal dan pentadbiran agama Islam sesuai dengan kedudukan khas serta istimewanya sebagai Agama Persekutuan.
“Seiring dengan perkara itu, perlu juga diingat bahawa hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan bagi agama-agama di Malaysia turut meliputi agama Islam dan perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak dan golongan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, PAS percaya ‘percanggahan atau polemik undang-undang’ yang cuba dibangkitkan oleh MCCBCHST adalah tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranan sahnya sebagai sebuah majlis perundingan agama, terutama sekali apabila ia tidak menunjukkan sebarang bukti atau contoh bagaimana pentadbiran atau pindaan undang-undang Islam berkenaan boleh memberi kesan ke atas agama atau amalan agama-agama bukan Islam di negara ini.
Justeru, beliau mempersoalkan apakah MCCBCHST mahu berperanan sebagai penyibuk (busybody) atau ‘hantu orang tengah’ (ghost intermeddlers) sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam beberapa penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan isu yang sama kerana perbuatan sedemikian akan hanya menimbulkan kecurigaan yang mendalam terhadap niat dan motif sebenar majlis itu sendiri.
“Kedua, sebagai badan perundingan agama, PAS beranggapan peningkatan amalan beragama yang meluas, sihat dan teratur dalam kalangan pengikut semua agama tentulah menjadi antara cita-cita murni MCCBCHST atas kesedaran bahawa ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat dan negara,” jelasnya lagi.
Namun malangnya, kata beliau dalam konteks penambahbaikan kepatuhan orang Islam kepada agama mereka melalui cadangan pindaan undang-undang di atas, MCCBCHST cuba menghalang dan menyekatnya dengan bantahan yang tidak berkaitan dan naratif yang salah.
Mahu tidak mahu, ujarnya sekali lagi motif dan agenda sebenar majlis berkenaan terus menjadi persoalan, sekali gus berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam konteks hubungan antara kaum dan agama.
Dalam pada itu, kata beliau PAS merakamkan rasa ralat yang mendalam terhadap sikap tidak peka mahupun peduli apabila isu itu ditimbulkan pada masa yang sangat tidak sesuai, iaitu pada 22 Ramadan, di saat umat Islam sedang berada di kemuncak dalam menjalani ibadat yang amat penting dalam agamanya.
“Umum mengetahui bahawa 10 hari terakhir bulan Ramadan merupakan tempoh paling suci dan bermakna bagi umat Islam yang sedang menjalankan ibadah berpuasa.
“Dalam tempoh ini perhatian orang Islam ialah untuk meningkatkan semua kegiatan beribadah mereka, sama ada dengan membaca al-Quran, beriktikaf di masjid, bersedekah jariah atau melakukan semua bentuk amal baik bagi mengejar ganjaran berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Sayangnya, ujar beliau tempoh itu secara sengaja dipilih untuk mencampakkan bantahan dan polemik berkenaan ke tengah-tengah masyarakat Islam tanpa mengambil kira atau endah tentang kesannya ke atas ketenangan dan keselesaan mereka untuk menjalankan ibadah yang dituntut oleh Islam.
“Bagi PAS, ini bukan sahaja tindakan yang keterlaluan dan provokatif, tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetuskan permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang menjunjung cita-cita kerukunan dan perpaduan rakyatnya,” tegas beliau.
Tambahnya, PAS menegaskan bahawa cadangan pindaan Akta 355 tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan adalah sah serta berperlembagaan (valid and constitutional).
“Akhir kata, PAS juga menggesa Putrajaya supaya segera memberikan respons terhadap kenyataan MCCBCHST yang boleh dianggap songsang itu, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/4/2024











