Penjawat awam Kelantan dapat bantuan khas raya RM500

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mengumumkan pemberian khas kewangan sempena Aidilfitri 2024 kepada semua penjawat awam negeri daripada gred 56 ke bawah sebanyak RM500.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, bayaran itu akan dibuat minggu hadapan.

“Mesyuarat Exco hari ini setuju meluluskan pemberian khas Aidilfitri sebagai menghargai jasa dan bakti pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

“Pemberian khas kepada penjawat awam negeri sebanyak RM500 akan dibayar sebelum sambutan hari raya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Menteri Besar juga berkata, bayaran sebanyak RM250 pula diberi kepada pegawai lantikan politik termasuk penghulu, Halaqat, Penyelaras ICT DUN, guru pondok, guru al quran, Penyelaras Armalah DUN dan guru jahitan.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi menyalurkan bantuan tersebut.

Cuti peristiwa

Sementara itu Ustaz Mohd Nassuruddin turut mengumumkan cuti persitiwa pada 9 April ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau bekata, cuti peristiwa itu diberi bagi memberi peluang rakyat membuat persiapan menyambut Hari Raya.

“Ia juga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku sehari sebelum Aidilfitri ekoran kepulangan anak-anak perantau,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -