
ARAU: Sebanyak 450 buah wau menyertai Pertandingan Wau Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji yang berlangsung selama dua hari bermula 9 Mac lalu.
Pertandingan diadakan di Kampung Chermai, Jelempok, di sini berjaya menarik minat hampir 70 peratus penduduk tempatan dan selebihnya peserta luar Perlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, program seperti itu berupaya mengeratkan lagi hubungan wakil rakyat dengan penduduk kampung.
“Tahniah kepada pengerusi dan jawatankuasa Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK), komuniti Kampung Chermai, Kampung Jelempok, dan semua yang terlibat dalam menjayakan program yang sangat meriah selama dua hari ini.
“Dengan menghadiri acara seperti ini, kita dapat bertanya khabar secara bersemuka dengan penduduk,” katanya.
Selain pertandingan wau, pelbagai acara juga dipertandingkan seperti sepak penalti, lastik botol, tangkap botol, cari coklat dan kerusi muzik. – HARAKAHDAILY 11/3/2024











