
KOTA BHARU: Skuad Kito Cakna (SKC) yang ditubuh pada 2011 di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan menyantuni kira-kira 50,000 golongan mustad’afin termasuk asnaf.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, SKC kemudian diperluas sehingga peringkat mukim bermula Oktober 2020.
Katanya, tahun ini kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan himpunan SKC bagi menyelaras dan memantapkan lagi gerak kerja.
“Bermula tahun ini Skim Latihan Sukarelawan Sosial bertauliah juga akan diadakan bagi meramaikan lagi jumlah sukarelawan bertauliah yang terlatih serta berimpak tinggi.
“Saya juga berharap aktiviti SKC mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.
Menurutnya, SKC merupakan antara program berkebajikan yang dirintis kerajaan Kelantan sejak 12 tahun lalu.
Kata beliau setiap kali SKC turun padang turut disertai wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Rohani juga berharap program seumpama itu turut mendapat kerjasama badan-badan korporat dan syarikat swasta bagi menyalurkan dana untuk menjaya aktiviti turun padang. – HARAKAHDAILY 7/3/2024











