Jambatan Kuala Perlis-Satun masih dalam kajian

- Advertisement -

HATYAI: Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Kuala Perlis ke Satun, Thailand, masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan pada masa ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menyuarakan kebimbangan mengenai pembinaan jambatan tersebut.

Katanya, ia mungkin hanya akan memberi keuntungan kepada Thailand, dengan pelancong hanya singgah sebentar di Kuala Perlis sebelum ke Satun.

“Saya berpendirian, pembinaan jambatan itu tidak akan memberi faedah kepada negeri Perlis disebabkan pelancong tidak akan singgah pun di Kuala Perlis,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di Hotel Yannaty, di sini, malam tadi.

Kebimbangan yang sama turut dizahirkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Cadangan pembinaan jambatan itu pertama kali dicetuskan pada 2015 oleh Wilayah Satun dari Tammalang ke Puyu di Satun menuju Bukit Putih di Kuala Perlis.

Jambatan itu difahamkan akan membabitkan laluan sejauh 15 kilometer (km) merangkumi dua km di bahagian Kuala Perlis dan bakinya di Satun.

Mohd. Shukri juga menekankan pentingnya meningkatkan promosi untuk menarik pelancong dari Selatan Thailand ke Perlis tanpa perlu bergantung kepada pembinaan jambatan.

“Dalam hal ini, saya fikir pelancong akan tetap ramai ke Thailand daripada sebaliknya.

“Apapun, kita akan cuba dulu di peringkat awal ini untuk mempromosikan Perlis ini dengan lebih giat lagi dan kita tengok kehadiran pelancong daripada selatan Thailand ini khususnya Satun meningkat dengan begitu baik baharulah kita tidak ada masalah untuk membina jambatan itu,” katanya.

Tambahnya, Perlis perlu dipromosikan sebagai destinasi menarik dengan banyak lokasi yang unik dan menarik perhatian, berbeza dengan kawasan pelancongan di selatan Thailand. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -