‘Ambil apa yang kamu beli atau pulangkan sebagaimana diambil’

Foto hiasan.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 95)

UMAR tawar menawar dengan seorang lelaki mengenai seekor kuda. Beliau menunggang kuda itu untuk mengujinya. Kuda itu tercungap-cungap.  Umar mahu memulangkan kuda itu kepada tuannya yang asal. Tuan kuda enggan menerimanya.

Umar berkata: Lantik seorang hakim di antaraku dan di antaramu.

Lelaki itu berkata: Syuraih al-Iraqi.

Kedua-duanya menjadikan Syuraih sebagai hakim.

- Advertisement -

Selepas Syuraih mendengar hujah kedua-duanya, beliau berkata: Ambil apa yang kamu beli atau pulangkan sebagaimana yang engkau ambil.

Umar berkata: Adakah hukuman hanya seperti ini?

Umar melantik Syuraih menjadi hakim di Kufah. Beliau kekal di sana selama 60 tahun. (Al-Bayan al-Fasil baina al-haq wal-batil, Ali Fikri, ms 210)

Kita mengambil beberapa pengajaran dari kisah di atas:

1) Seorang pemerintah, pentadbir atau pegawai boleh sahaja memiliki harta yang harus dan halal. Kuda di zaman Umar ibarat kereta di zaman kita. Kuda di zaman Nabi dan para sahabat digunakan untuk berperang dan kegunaan yang lain. Kereta di zaman ini perlu berkualiti, terutama kepada pemimpin dan pegawai yang sangat sibuk ke sana ke mari menguruskan amanah pentadbiran dan pemerintahan. Tidak salah memiliki kenderaan yang baik. Yang penting, ada justifikasi benar memiliki dan menggunakannya. Bukan sekadar untuk bergaya mewah tanpa asas yang betul.

2) Kenderaan yang ingin dibeli boleh dicuba. Di zaman kita, ia memang berlaku. Cuma, kereta yang diuji pandu berbeza dengan kereta yang ingin dibeli. Namun, spesifikasinya tetap sama.

3) Apabila ada pertikaian antara pembeli dan penjual, ia perlu diselesaikan. Mungkin melalui tribunal, atau mahkamah tertentu serta ada prosedurnya yang khusus. Di zaman kita, saluran menyelesaikan kes jual beli, transaksi ada pelbagai bentuk. Sistemnya perlu adil, menepati kaedah-kaedah syarak yang telah ditetapkan.

4) Hukuman Syuraih yang menyebut: “Ambil apa yang kamu beli atau pulangkan sebagaimana yang kamu ambil” adalah satu hukuman yang patut dikaji oleh pakar undang-undang Islam. Bagaimana ia boleh dipraktikkan kini. Adakah di sana konsep lain yang boleh digunapakai? Bagaimana menurut al-Quran, sunnah, ijmak dan qias? Kajian lebih lanjut dan mendalam boleh dibuat dari hukuman ini. Dalam Islam, paling penting bagaimana keadilan itu boleh ditegakkan. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -