Tanam bawang: Yakini kemampuan saintis negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu yakin dan percaya kemampuan saintis negara yang berada di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk memulakan rancangan penanaman bawang.

- Advertisement -

Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, sekiranya bawang dapat ditanam bagi penghasilan di negara ini, maka tidak perlu lagi melibatkan konsultan luar sebaliknya perkara tersebut diyakini kepada kemampuan saintis sendiri.

Kerajaan juga kemukanya, perlu mempunyai perancangan untuk menggalakkan rakyat menanam bawang contohnya di kawasan-kawasan kecil di halaman rumah dengan sedikit bantuan benih percuma.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Terdahulu soalan asal beliau meminta Menteri tersebut menyatakan perincian strategi Kementerian dalam memenuhi matlamat untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus ketika ini.

Datuk Seri Mohamad Sabu dalam jawapannya berkata, pada masa kini Malaysia bergantung seratus-peratus kepada sumber bawang yang diimport daripada India, Belanda, China dan Thailand. 

“Antara jenis bawang segar yang diimport adalah bawang besar, bawang kecil, dan bawang putih. Pada tahun 2022, Malaysia mengimport bawang sebanyak 687,000 tan metrik. Dengan nilai RM1.58 bilion,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -