
SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor telah melakar pelbagai kejayaan antaranya menahan seramai 22,981 orang ke atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah pada tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan memberitahu demikian pada Perhimpunan Bulanan di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pagi tadi.
“Kejayaan tersebut adalah (menemukan) 20 kilogram (dadah) ke atas dengan 17 kes, 71 tangkapan dan nilai rampasan RM139,024,750. Makmal haram tiga kes, empat tangkapan serta nilai rampasan sebanyak RM15,580,780, senjata api tiga kes dan empat tangkapan.
“Manakala prestasi yang dicapai JSJN Selangor adalah tangkapan kes bekalan sebanyak 2,536 kes dan 3,690 orang, tangkapan kes memiliki sebanyak 9,700 kes dan 12,596 orang, tangkapan kes urin sebanyak 6,573 kes dan 6,573 orang.
“Akta Dadah berbahaya, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) sebanyak 122 orang, Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya sebanyak 568 orang, nilai sitaan bagi tahun 2023 sebanyak RM12,422,368 dan nilai harta dilucutkan tahun 2023 sebanyak RM1,892,291.17,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada warga kerja Polis Selangor untuk sentiasa berkhidmat dengan penuh keikhlasan serta telus menjalankan setiap penugasan telah diamanahkan supaya budaya kerja berintegriti dapat dikekalkan.
Beliau juga turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Selangor kepada 38 pegawai terdiri daripada Pegawai Kanan Polis, Pegawai Pangkat Rendah Polis dan Pegawai Awam IPK Selangor yang telah menunjukkan dedikasi serta hasil kerja cemerlang.
JSJN merupakan jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berfungsi sebagai agensi penguatkuasaan utama bagi membanteras dadah dan memantau serta berusaha memerangi segala aktiviti pengedaran, penyeludupan dan penyalahgunaan dadah. – HARAKAHDAILY 22/2/2024











