
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani tidak boleh menyalahkan siapa-siapa melainkan mengambil tanggungjawab atas kegagalan mengembangkan ekonomi mengikut unjuran.
Profesional Istiqamah dalam satu kenyataan berkata, rakyat harus ditingkatkan kuasa beli mereka dalam mengharungi ekonomi penuh tidak menentu ini.
“Mentadbir negara bukan sesuatu yang mudah, terimalah hakikat tersebut bahawa kalian gagal mentadbir.
“Meskipun cuba ditegakkan berkali-kali oleh Kerajaan Madani bahawa ekonomi negara dalam keadaan baik apabila mereka mentadbir, indikator menunjukkan sebaliknya.
“Peningkatan kos sara hidup, kejatuhan nilai Ringgit, kejatuhan nilai eksport serta kejatuhan pelaburan asing dalam negara menjadi penanda jelas ada sesuatu yang bermasalah,” ujar mereka.
Menurut kenyataan tersebut, perkara ini juga dibangkitkan dua pakar ekonomi iaitu Paolo Casadio dan Geoffrey William iaitu masing-masing daripada Universiti HELP dan juga Malaysia University of Science and Technology.
“KDNK Malaysia tidak mencapai sasaran asal 4 peratus hingga 5 peratus pertumbuhan sebaliknya hanya mencapai 3.7 peratus.
“Ini menjadi satu indikator ‘menolak’ kepada pelabur luar untuk datang melabur ke Malaysia. Benar, antara cabaran yang diwarisi adalah faktor kesan pasca pandemik (COVID-19) yang masih dirasai.
“Tetapi bukankah politikus kerajaan (PH-BN) semasa begitu hebat dengan formula dan ucapan berapi-api pada era pembangkang seolah-olah mereka mempunyai solusi ampuh untuk memulihkan ekonomi?
“Sepertinya lebih mudah bercakap daripada bekerja bukan? Begitulah realitinya. Akhirnya semua pihak salah kecuali diri sendiri. Ringgit yang dahulunya salah kerajaan kini menjadi tanggungjawab Gabenor BNM sahaja,” ujarnya.
Tambah kenyataan tersebut, permintaan domestik yang lemah menjadi antara kayu ukur ekonomi negara tidak berkembang mengikut unjuran sepatutnya.
“Contohnya pemberian e-dompet RM100 ternyata tidak mencukupi untuk merangsang perbelanjaan dan kitaran ekonomi rakyat. Ternyata apa yang telah diusahakan kerajaan tidak mencukupi
“Dalam keadaan kuasa beli rakyat terus lemah, kerajaan patut menangguhkan segala penguatkuasaan cukai baharu yang pelbagai demi mengelakkan kesan berganda kepada rantaian pengguna khususnya peningkatan SST kepada 8 peratus.
“Malahan, kedua pakar ekonomi tersebut turut menekankan kepada kerajaan untuk menangguhkan inisiatif yang ‘tidak menambah nilai’ seperti New Industrial Master Plan (NIMP) dan National Energy Transition Roadmap (NETR).
“Sayang sekali idea Rafizi tidak begitu penting untuk waktu genting sebegini,” bidas kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 22/2/2024











