
DUNGUN: Kerajaan negeri Terengganu bakal melaksanakan projek solar agrivolta iaitu projek bermanfaat diintegrasi untuk pembangunan solar dan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia akan menjadi projek agrivolta yang pertama seumpamanya di Terengganu dan antara yang terbesar di Malaysia.
“Dengan kaedah ini, penggunaan tanah boleh dioptimunkan untuk dua kegunaan sekali gus, solar dan pengeluaran makanan,” katanya.
Beliau berkata, pilot projek ladang agrivolta selama enam bulan untuk kajian dibangunkan oleh TADC dan MCT Agriculture.
“Insya-Allah ia akan jadi satu pilot projek dan satu KPI bagaimana integrasi ini boleh digabungkan.
“Dua-dua kita dapat manfaat dari segi teknologi hijau dan keselamatan makanan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily semasa lawatan kerja Projek Penanaman Tanaman Kontan Berasaskan Perladangan Agrivolta di Ladang Rimbunan Kaseh, Rantau Abang, di sini, hari ini.
Menurut Azman, integrasi antara ladang solar dan pertanian akan dibangunkan secara komersial yang dijangka akan menelan kos sekitar RM200 juta di atas sebidang tanah seluas 200 ekar di Mukim Merang, Setiu.
“Bahagian atas kita akan bina solar dan di bawah akan ditanam dengan beberapa tanaman kontan antaranya markisa, melon manis Terengganu dan juga jagung.
“Kita sasarkan insya-Allah pada suku ke empat tahun 2024 projek ini akan dapat dimulakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan keyakinan untuk TADC dan MCT Agriculture membangunkan projek ini di atas dasar rekod kejayaan memulihkan projek yang gagal dan terbengkalai di Rimbunan Kaseh di Dungun untuk menjadi satu kawasan pengeluaran melon manis Terengganu yang utama di negeri ini.
“Jadi kejayaan kita membangunkan kembali Rimbunan Kaseh ini juga menjadi satu penanda aras bagi kerajaan negeri untuk memberi peluang yang lebih besar kepada TADC dan MCT Agriculture untuk kita lebih maju selangkah lagi.
“Di sini pun kita sudah gunakan teknologi IOT (Internet of Things) sepenuhnya dan teknologi yang sama akan dibawa ke Setiu ditambah dengan teknologi solar farm di bahagian atas dan pertanian di bahagian bawah,” katanya.
Adun Jabi itu berkata, integrasi itu juga memberikan manfaat kepada banyak pihak dalam masa yang sama boleh menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. – HARAKAHDAILY 28/1/2024












