
KOTA BHARU: Polis Kelantan mengambil perhatian serius mengenai kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (along) sebagai usaha menangani dan membanteras aktiviti haram tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, orang ramai perlu mengelakkan daripada membuat pinjaman dengan ceti haram atau ah long.
Katanya polis memberi fokus mengenai kes scammer yang melibatkan kes ah long dan membuat tangkapan.
“Ini merupakan tindakan untuk memastikan kegiatan ah long tiada di Kelantan,” katanya selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Rendah Polis dan penerima surat penghargaan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini semalam. (Foto atas)
Menurutnya juga kegiatan ah long perlu ditangani untuk mengelak sebarang masalah timbul, selain menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Kata beliau Polis Kelantan sejak awal lagi memberi fokus terhadap kes pinjaman ah long memandangkan ramai peniaga terdedah untuk meminjam wang secara haram dalam jumlah kecil, namun akhirnya terbeban dengan hutang.
“Kita tidak mahu melihat lagi kes-kes melibatkan kekecohan dan pergaduhan sehingga membuat tindakan yang tidak sewajarnya.
“Kita akan cuba yang terbaik dan berharap masyarakat jangan membuat pinjaman dengan ah long,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











