Kenaikan tarif air bantu kurangkan NRW negeri

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, kenaikan tarif air sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu mulai 1 Februari mampu meningkatkan perkhidmatan bekalan air dan memperbaiki prasarana.

- Advertisement -

Katanya, kenaikan itu dianggap masih pada kadar yang tidak memberatkan pengguna domestik.

Mohd. Shukri menyatakan keyakinannya bahawa langkah tersebut juga dapat membantu mengurangkan kadar air tak berhasil (NRW) dalam negeri.

“Kita harap rakyat dapat menerima peningkatan ini bagi memberi manfaat kepada pembangunan infrastruktur air dan peningkatan kualiti bekalan air di Perlis.

“Sebelum kenaikan ini, tarif air di Perlis tidak pernah disemak sejak tahun 1996,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pameran seni visual sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di sini, semalam. (Foto atas)

Media sebelum itu melaporkan negeri-negeri Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan mengalami kenaikan serupa mulai 1 Februari, ia merupakan langkah pertama sejak empat dekad.

“Perlis sendiri menghadapi cabaran serius dalam isu perkhidmatan air dengan keperluan kira-kira RM1.8 bilion untuk menangani masalah seperti penggantian paip uzur dan penambahbaikan lain.

“Syarikat Air Perlis (SAP) sudah menggantikan hampir 900 kilometer paip uzur, tetapi penyelesaian penuh dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun,”ujarnya.

Menteri Besar tidak menolak kemungkinan mengkaji semula cadangan untuk menetapkan kadar yang lebih rendah kepada golongan yang memerlukan, namun, masih belum ada keputusan rasmi dalam perkara ini. – HARAKAHDAILY 19/1/2024

- Advertisement -