
BALING: Program Baling Bercahaya 2024 diyakini dapat melonjakkan nama daerah ini sekali gus menarik lebih ramai kehadiran pengunjung.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, ia selaras hasrat kerajaaan negeri untuk menaikkan industri pelancongan bagi menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025.
“Saya yakin Program Baling Bercahaya 2024 ini akan dapat melonjakkan lagi nama daerah ini, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung yang tentu sahaja akan merancakkan lagi aktiviti sosioekonominya.
“Gemerlapan lampu pada malam yang dilimpahi cahaya ini juga sebagai simbol kesiapsiagaan kita untuk menyambut kehadiran tetamu menjelang Tahun Melawat Kedah, tahun hadapan,” ujar beliau.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Baling Bercahaya 2024, Dataran Titian Ilham, malam tadi.
Dalam pada itu tambahnya lagi, rakyat Kedah perlu mempersiapkan diri untuk menerima para tetamu yang datang dari pelbagai latar belakang.
“Setiap daerah di Kedah akan memperolehi manfaat daripada program Tahun Melawat Kedah 2025.
“Oleh itu setiap kita perlu bersedia untuk menjadi tuan rumah menyambut tetamu yang hadir nanti,” kata beliau lagi.
Ribuan pengunjung khususnya warga Baling hadir pada program julung kali diadakan di daerah berkenaan. – HARAKAHDAILY 9/1/2024











