
ALOR SETAR: Kedah akan meneroka inisiatif lain yang sedia termaktub di dalam undang-undang untuk pendapatan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antaranya sewaan ruang udara (papan tanda), jeti-jeti, fibre optik dan lain-lain.
“Semua itu bukan hasil baru tetapi Kedah belum laksanakan dan ia termaktub di dalam undang-undang. Negeri-negeri lain telah kuatkuasakan cuma kita (Kedah) sahaja yang belum laksanakan,” jelas beliau pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sebelum ini katanya, pemasangan papan tanda hanya perlu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi sebenarnya ia berada di ruang udara Kedah.
Seperkara lagi, ujar Sanusi, sehingga ini PBT belum menguatkuasa sepenuhnya berkenaan bangunan-bangunan yang melanggar syarat.
“Bangunan itu dibina antara 20 ke 30 tahun lalu. Masa tu, PBT belum menguatkuasa sepenuhnya peraturan dan undang-undang.
‘Kita bukan nak roboh tapi ikut peraturan kena bayar, bina bangunan lebih dari pelan asal. Inisiatif ini boleh cecah ke RM300 juta. Ada dalam undang-undang. Bukan saja-saja kita nak buat,” katanya lagi.
Perlaksanaan itu tambah beliau akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan bukan hanya melibatkan Bandaraya Alor Setar sahaja tetapi juga di tempat lain.
Sebelum ini katanya, pemilik bangunan hanya membayar cukai untuk bangunan di dalam lot sahaja tetapi tidak termasuk yang dibina melanggar syarat. – HARAKAHDAILY 8/1/2024











