Takziah atas kesyahidan as-syahid Soleh Al-ʼAruri

- Advertisement -

Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan takziah kepada gerakan HAMAS atas gugurnya Timbalan Ketua Biro Politiknya, As-Syahid Soleh Al-‘Aruri. Dewan Pemuda juga mengutuk serangan biadap ini dan juga serangan yang masih mensasarkan rakyat awam Gaza.

- Advertisement -

Jika rejim Zionis beranggapan pembunuhan ini akan melenyapkan HAMAS dan kemenangan akan berpihak kepada mereka, sebenarnya rejim Israel silap dan mereka bermimpi di siang hari. Pembunuhan ini tidak akan berjaya melemahkan semangat juang anggota Hamas. Bahkan itulah yang dituntut, satu antara dua samaada kemenangan ataupun memperoleh syahid.

Pengeboman yang mensasarkan kediaman As-Syahid Soleh Al-‘Aruri di Beirut yang turut mengorbankan 4 orang yang lain merupakan tindakan terdesak rejim penjajah Zionis yang begitu terdesak untuk memburu dan Pimpinan tertinggi HAMAS sejak ‘Taufan Al-Aqsa’ meletus pada 7 Oktober tahun lalu.

Pimpinan rejim Israel berikrar untuk menghapuskan HAMAS dan membunuh pemimpin mereka termasuk Ismail Haniyah dan Mohammed Dhif, selaku panglima tertinggi Briged Al-Qassam.

Namun, setelah hampir 3 bulan berlalu dengan hanya mampu membunuh rakyat awam lebih 22,000 orang, rejim Israel gagal dan ingin menutup kegagalan tersebut maka As-Syahid Soleh Al-‘Aruri menjadi korban.

Pembunuhan As-Syahid Soleh Al-‘Aruri ini menjadi saksi bahawa HAMAS, sebuah gerakan yang dilabelkan sebagai pengganas ini adalah merupakan sebahagian daripada kehidupan rakyat Gaza. Antara petikan ucapan As-Syahid Soleh Al-‘Aruri: “Kami merupakan sebahagian daripada kehidupan rakyat Gaza. Kami dibunuh sepertimana rakyat kami dibunuh, rumah kami dirobohkan sepertimana rumah mereka dirobohkan.”

Pembunuhan beliau mengulangi tragedi pembunuhan pimpinan-pimpinan HAMAS sebelumnya termasuk pengasasnya As-Syahid Syeikh Ahmed Yassin, Dr. Abdul Aziz Rantisi, Ahmed Jaabari dan lain-lain.

Mereka tidak lari jauh menyembunyikan diri berbanding rakyat awam Gaza, mereka tidak hidup dengan gaya tinggi membezakan mereka dengan kehidupan rakyat, berbeza dengan gerakan Arab yang mendukung nasionalis yang terdiri dari golongan elit, hidup dengan penuh lakonan dan perbezaan antara dua darjat daripada kehidupan rakyat marhen.

Bahkan HAMAS sebuah gerakan yang merasai denyut nadi rakyat Gaza yang telah lama menderita. Oleh itu, tidak memeranjatkan HAMAS didokong oleh rakyat Gaza dalam Pilihan raya tahun 2006 yang membawa kemenangan besar memenangi 74 daripada 132 kerusi dipertandingkan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mengkagumi sifat sabar dan cekal serta terus thabat rakyat Gaza atas kekejaman rejim Zionis ke atas mereka dan mendoakan Allah membantu mereka. Semoga darah syahidnya Soleh Al-‘Aruri menjadi percikan kepada kehancuran rejim Zionis yang sudah terlalu hampir.

YB USTAZ AFNAN HAMIMI DATOʼ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 Januari 2024 | 22 Jamadilakhir 1445 – HARAKAHDAILY 4/1/2024

- Advertisement -