
KOTA BHARU: Setiap pendukung PAS hendaklah terus menyokong dan mempertahankan media milik parti itu, iaitu Harakah untuk memastikan kesinambungannya.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, era setiap maklumat program membantu rakyat disembunyikan tanpa pengetahuan orang ramai sudah berlalu.
Katanya rakyat perlu tahu apa yang dilakukan wakil rakyat dan kerajaan negeri bagi mengelakkan ada stigma tiada perubahan negeri yang diterajui PAS dan PERIKATAN NASIONAL.
“Harakah satu-satunya media milik PAS yang perlu kita pertahankan untuk mendapat maklumat berkaitan kerajaan negeri dan PAS serta PN,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja pada Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di Putik hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakub, Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan pimpinan PAS negeri.
Mohd Asri yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri berkata, sekiranya PN kembali menerajui Putrajaya pada masa akan Harakah mungkin menjadi media nasional dan rujukan orang ramai.
Oleh itu kata beliau penjenamaan semula media milik PAS dan PN sama ada cetak atau media sosial perlu dilakukan dengan sokongan padu ahli serta pendukung PAS.
“Kalau kita boleh membeli akhbar-akhbar lain mengapa tidak boleh membeli Harakah sebagai sokongan untuk mempertahankan media milik kita,” ujarnya.
Pada program tersebut turut diadakan pelancaran Hd Premium di samping montaj yang menawarkan harga RM10 sebulan. Tawaran istimewa terbuka kepada 1,000 pelanggan pertama. – HARAKAHDAILY 16/12/2023











