Sambutan setahun kerajaan Madani disaji rombakan kabinet

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kebiasaan rakyat akan turut meraikan sambutan setahun pemerintahan kerajaan baharu, namun apa yang berlaku mereka disajikan dengan rombakan kabinet kerajaan Madani.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, sebelum rombakan itu dilakukan ramai menteri dan timbalan menteri tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Dan lebih setahun sudah ada rombakan kabinet, sebelum ini nampak tidak berkesan, kita harap selepas ini betul-betul berkesanlah, itu harapan kita,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2023 di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah dan pimpinan kerajaan negeri.

Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet dengan menambah bilangan menteri daripada 28 kepada 31 orang.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, sebelum ini banyak pihak menganggap kerajaan sekarang ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Itu bukan suatu perkara baru, kita selalu sebut di parlimen kerajaan cakap tidak serupa bikin, apa yang diuar-uarkan tidak sebagaimana yang dilaksanakan.

“Kita berharap kerajaan lebih bertanggungjawab. Saf menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik diharap dapat melaksanakan tugas dengan baik.

“Keutamaan sewajarnya diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan menterjemahkan keprihatinan terhadap kehidupan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya tempoh berbaki penggal ke-15 kerajaan Madani perlu membuktikan kepentingan rakyat menjadi keutamaan. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -