Warga asing kahwin wanita tempatan untuk dapat lesen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hampir di seluruh negara boleh ditemui warga asing menjalankan perniagaan termasuk memiliki premis perabot, kedai runcit dan karpet.

- Advertisement -

Sebelum ini media acap kali mendedahkan modus operandi perniagaan dengan menggunakan nama isteri, rakyat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing memiliki lesen premis perniagaan.

Katanya kerajaan negeri mengesan segelintir peniaga tempatan sanggup ‘mengalibabakan’ lesen mereka kepada warga asing.

“Tindakan berkenaan membolehkan golongan itu menjalankan aktiviti perniagaan seperti kedai runcit termasuk di Bandar Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan dibuat mendapati warga asing terbabit mempunyai lesen perniagaan yang sah dengan menggunakan nama isteri rakyat tempatan,” katanya selepas perasmian Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) Kelantan 2035 (Penggantian) di Dewan MDK-PI petang semalam.

Menurutnya juga warga asing sanggup berkahwin dengan wanita tempatan semata-mata untuk mendapatkan lesen tersebut.

Kata beliau PBT tidak boleh menghalang perkara itu, sebaliknya hanya boleh mengambil tindakan untuk kesalahan berkaitan lesen perniagaan sahaja.

“Perkara berkaitan perlanggaran permit dan sebagainya yang melibatkan warga asing di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kesedaran warga tempatan perlu bagi mengelak diambil kesempatan oleh warga asing untuk kepentingan diri mereka. – HARAKAHDAILY 13/12/2023

- Advertisement -