
IPOH: Rakyat di negara ini perlu ‘diselamatkan’ daripada beban kos sara hidup yang semakin meningkat di bawah kerajaan Madani sekarang.
Ketua Pemuda PAS Perak Hafez Sabri berkata, rakyat berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya barangan keperluan harian.
Katanya bantuan kepada rakyat perlu dilaksanakan secara bersasar bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan kehidupan harian.
Kata beliau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mencari jalan penyelesaian secara tuntas yang mampu memberi pulangan yang baik kepada rakyat.
“Kerajaan juga perlu mengambil langkah tegas membendung kewujudan kartel yang menguasai monopoli sehingga menyebabkan barangan keperluan harian terus meningkat,” katanya di sini.
Menurutnya juga berdasar data sebanyak 51.5 peratus (6.7 juta) ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 tahun kekal mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000.
Selain itu gaji di Malaysia masih kekal rendah dan tidak anjal.
“Ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup, kisah-kisah politik murahan pula muncul.
“Di bawah Malaysia Madani, kehidupan rakyat bukan semakin baik sebaliknya berdepan dengan kegetiran termasuk isu ketiadaan beras tempatan, kos barangan dapur meningkat.
“Kerajaan Madani juga memotong subsidi dan meningkatkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus,” ujarnya.
Menurutnya isu yang diketengahkan itu bukan perkara yang boleh dipandang enteng kerana ia mengheret rakyat kepada kehidupan lebih sukar.
Hafez yang juga Adun Manjoi berkata, pada persidangan Dun Perak baru-baru ini Adun PERIKATAN NASIONAL (PN) mencadangkan kerajaan negeri membantu golongan muda membeli rumah pertama dengan mengurangkan deposit serta bayaran bulanan.
“Kita juga mencadangkan supaya diwujudkan ekosistem yang kondusif kepada usahawan digital dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk skim latihan, sokongan kewangan serta akses kepada pasaran global,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 13/12/2023











