
KEMAMAN: Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman merupakan ‘pembuka pintu’ untuk menuju ke Putrajaya.
“Insya-Allah apa yang kita hadapi pada hari ini di Parlimen Kemaman dengan majoriti yang begitu tinggi hasil kerja kuat daripada tuan tuan sekalian merupakan suatu game changer, pembuka pintu, insya-Allah untuk kita menuju ke Putrajaya?
“Sekali lagi daripada sudut hati saya moga-moga perjalanan ini perjalanan yang kita akan ingat sampai bila-bila boleh atau tidak?” ujarnya selaku calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL pada PRK Parlimen Kemaman.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan demikian ketika berucap di Arena Square, Cukai, malam ini selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Kemaman
Ahmad Samsuri memenangi PRK Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi apabila memperolehi 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.
Kemenangan Dr Samsuri diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandatan Kemaman malam ini.
“Kepada semua yang berada di hadapan saya, para pengundi Parlimen Kemaman, penduduk dalam daerah Kemaman, semua petugas dan jentera daripada Kemaman, Dewan Undangan Negeri, DUN-DUN di Negeri Terengganu, negeri-negeri di seluruh Malaysia, yang turut sama hadir ke Parlimen Kemaman untuk terlibat dalam aktiviti proses demokrasi pilihan raya, terima kasih daripada saya.
“Dari sudut hati saya, terima kasih banyak-banyak yang tidak terhingga, di atas semua kerja keras semua, termasuklah terima kasih kepada pengundi dan penduduk, di daerah Kemaman ini,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota unit beruniform, polis, bomba, SPR, petugas kesihatan dan semua pegawai kerajaan yang terlibat dalam proses PRK itu. – HARAKAHDAILY 2/12/2023












