Dr Sam bakal realisasi langkah PN kembali ke Putrajaya

- Advertisement -

KEMAMAN: Calon PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili blok Perikatan Nasional (PN) mengesahkan kemenangan pada PRK P.040 Kemaman dengan majoriti 37,220 setelah memperolehi 64,998 undi.

Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada Umno pula yang mewakili blok bersama Pakatan Harapan (PH) hanya sekadar memperolehi 27,778 undi.

Keputusan tersebut bukan sahaja menunjukkan PAS mengekalkan kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding diperolehi pada PRU15 lalu, malah sekali gus menidakkan rancangan BN untuk mengurangkan majoriti PAS.

Malah, cakap-cakap banyak pihak bahawa kemenangan Dr Ahmad Samsuri atau lebih mesra dengan panggilan Dr Sam akan membawa PN mengubah senario politik negara dan melangkah ke Putrajaya dilihat bukanlah omong kosong.

Apatah lagi dalam kepentingan untuk Dr Sam membawa suara Terengganu dan negeri-negeri pembangkang lain yang dianaktirikan Kerajaan Persekutuan, tentu sekali akan menggegarkan Dewan Rakyat.

Ketika sama, banyak kepincangan serta isu-isu negara yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di mana memerlukan suntikan politik daripada tokoh seperti Dr Sam.

PRK P.040 Kemaman diadakan berikutan kemenangan wakil PAS, Che Alias Hamid pada PRU15 November tahun lalu telah dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September baru-baru ini.

Mahkamah tersebut dalam penghakiman dibuat telah membenarkan petisyen difailkan Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said yang mendakwa berlaku perbuatan rasuah secara berleluasa untuk mempengaruhi pengundi.

Che Alias menang di kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi setelah memperoleh 65,714 undi menewaskan Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi dan calon PEJUANG, Rosli Ab Ghani (506 undi) dan calon PH, Hasuni Sudin (8,340 undi). – HARAKAHDAILY 2/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -