Raja Muda Perlis terima mengadap deligasi GASIS

- Advertisement -

ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima sembah mengadap deligasi dari Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) di Istana Arau.

- Advertisement -

Majlis sembah mengadap hormat delegasi GASIS itu diketuai oleh Dr. Nik Noor Azlida Datuk Husain dan 50 orang peserta yang lain.

Persatuan tersebut berada di negeri ini sempena program ‘Jaulah Qiadi GASIS 2023’ yang merupakan program tahunan bertujuan untuk bermusafir bagi mencari ilmu yang bermanfaat untuk diterapkan dalam diri sebagai pemimpin dan pendidik.

Objektif program itu antaranya mewujudkan jalinan kerjasama antara GASIS dan institusi serta organisasi yang dilawati, mengikat ukhwah antara ahli dan membentuk mentaliti dan cara kerja berkepimpinan.

Dr. Nik Noor Azlida dalam sembah ucapannya kepada baginda berdua menyatakan, penubuhan GASIS bertujuan untuk merapatkan ukhwah dan menjadi pengantara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan sekolah-sekolah Islam di Selangor.

“Kedatangan patik-patik ke negeri ini adalah kerana Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda amat menitikberatkan dan prihatin akan sekolah-sekolah agama di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi baginda berdua memaklumkan bahawa pihak MAIPs memainkan peranan dalam membantu untuk mempertingkatkan sosioekonomi umat Islam melalui pelbagai bidang termasuklah pendidikan.

“MAIPs sentiasa memberikan perhatian kepada usaha-usaha elemen pemantapan pendidikan di negeri Perlis.

“Antaranya termasuklah pengukuhan pendidikan agama Islam melalui pelbagai inisiatif ke arah memantapkan pengurusan di samping memberikan penyaluran sumbangan terhadap pelbagai aktiviti pendidikan di 23 buah sekolah-sekolah agama di negeri Perlis yang berdaftar.

“Selain itu, Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs sering kali memberi perhatian kepada usaha untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan akademik di negeri Perlis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -