
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah apabila menjadi Universiti Teknikal pertama menerima Anugerah Malaysia’s Best for Professional TVET Certification dalam Malaysia Education & TVET Awards (META) 2023.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, faktor kejayaan institusi itu kerana memberi fokus kepada program-program TVET berimpak tinggi dalam bidang berteknologi terkehadapan seperti elektrik dan elektronik terutamanya perindustrian semikonduktor.
“UniMAP melalui penubuhan Pusat TVET mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan berkualiti dan memperkasakan pelajarnya,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-18 UniMAP di Dewan Ilmu, UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra, di sini, hari ini.
Baginda bertitah, fokus TVET UniMAP untuk memperkasa pelajar dengan ilmu pengetahuan, kemahiran insaniah dan teknikal, meningkatkan kebolehpasaran modal insan seiring dengan kehendak pemain industri, serta menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama generasi muda.
Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Sufri Mhd Zin; Naib Canselor Prof. Datuk Ts Dr. Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.
Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Prof. Dr. Kazuhiro Nogita dan Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Pengurusan kepada Zaki Abdul Aziz M.H. Daud.
Manakala Anugerah Pelajaran DiRaja diterima Siti Mahfuzah Fauzi dan Chong Kah Vui, penerima Pingat Emas Canselor Abdul Khalim Al Azizi Syahril dan Ng Kuang Yee, penerima Pingat Emas Naib Canselor Duane Regen Anak Broster, Sashnetha A/P Chittharasu dan Musaab Nabil Ali Askar.
Dan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Pengajian Siswazah, Revati A/P Radakisnin, Nur’ain Wahidah Ya Omar, Aiman Ismail Mohamed Jamil dan Zuraini Ibrahim.
Seramai 418 graduan terlibat pada sidang pertama hari ini terdiri daripada siswazah Pusat Pengajian Siswazah (PPS) dan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK). – HARAKAHDAILY 18/11/2023











