Kerajaan Pusat tenat, tak mampu selesai longgokan masalah

- Advertisement -

KEMAMAN: Kerajaan Persekutuan ketika ini disifatkan semakin tenat dalam menghadapi pelbagai situasi semasa hingga tidak berupaya mengheret rakyat dan negara keluar daripada masalah.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap hari timbul masalah baharu dan semakin bertampuk-tampuk tanpa mampu diselesaikan oleh Perdana Menteri dan parti pemerintah.

“Hanyalah mengelak dan menafi. Nak selesai tak mampu. Tak pandai kerja. Orang yang dilantik jadi kerajaan ni tak pandai kerja. Pandai bercakap aje, bercakap pun tak tahu dia cakap apa,” bidasnya.

Menteri Besar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Markas PAS UDM Bandar Sri Bandi, di sini hari ini.

Tegasnya juga, antara petunjuk bahawa kerajaan sangat lemah dan tiada keyakinan serta bimbangkan kejatuhan, apabila menyekat peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang, tetapi bertindak ‘membeli’ kalangan mereka.

Sanusi turut menyentuh kegagalan Kerajaan Madani menangani kenaikan harga barang termasuk isu ketiadaan beras tempatan di mana hanya ada beras import berharga sekitar RM48 hingga RM50.

“Padahal tanam di Kedah je pun. Depa beli beras tempatan, depa balik sembunyi, depa jual sebagai beras import. Jual RM48 (untuk) 10 kilogram. Padahal beras tempatan gagal untuk dikawal selia oleh kementerian yang bertanggungjawab.

“Oleh Abang Mat Sabu (Dato’ Seri Mohamad Sabu), Menteri Pertanianlah kan? Semua agensi kawal selia padi beras ni di bawah Mat Sabu. Cakap pandai gedegang-gedegang kata ke orang kan? Kerja tak pandai.

“Maka kita ada masalah banyak bab makanan, bab harga barang semua orang sedang menghadapi masalah,” ujarnya mahu pengundi menunjukkan ‘jalan keluar’ kepada Kerajaan Pusat pada PRK P.040 Kemaman nanti. – HARAKAHDAILY 10/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -