
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2023-2025.
Pelantikan mereka dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang telah diadakan semalam bagi melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media, malam tadi.
Katanya, pelantikan ahli jawatankuasa kerja dan pesuruhjaya itu berdasarkan peruntukan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan PAS.
Selain Annuar dan Shahidan, tujuh lagi AJK PAS Pusat yang dilantik ialah Ustaz Nasrudin Hassan, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Wan Rohimi Wan Daud, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Datuk Dr Muhammad Zawawi Salleh, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Dr Mohd Mazri Yahya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023











