
MELAKA: Orang ramai bertindak memijak dan membakar bendera negara haram Israel sebagai menunjukkan rasa marah pada Himpunan Aman Solidariti Untuk Rakyat Palestin yang berlangsung di Dataran Masjid Al Azim, di sini, selepas solat Jumaat hari ini.
Mereka yang hadir dari seluruh pelosok negeri itu turut melaungkan kata-kata ‘hidup Palestin’, ‘hancur Israel’, ‘hancur Yahudi’ dan laungan takbir.
Program yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) bersama-sama dengan PERIKATAN NASIONAL dan NGO-NGO yang bersimpati dengan rakyat Palestin dihadiri oleh lebih seribu orang.
Sementara itu, pengarah program tersebut, Ustaz Mohd Hafiz Yahya menzahirkan rasa syukur atas sambutan yang menggalakan dari para peserta demonstrasi tersebut walaupun diadakan pada hari bekerja.
Menurutnya, ini adalah kerana rakyat terutama umat Islam mempunyai kesedaran yang amat tinggi terhadap apa yang menimpa umat Islam Palestin.
“Dan hari ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia prihatin dan juga berada di belakang rakyat Palestin dalam isu pencerobohan Palestin yang sudah berlarutan lebih 75 tahun.
“Kita mengharapkan bukan hanya sekadar di sini, kita terus bersuara di segenap sudut, mahu pun di media sosial ataupun di segenap ruang yang ada,” ujarnya.
Tambah Ustaz Hafiz, bantuan juga harus diberi kepada rakyat Palestin dari segi bantuan kewangannya, doa, dan ketersediaan untuk menghadiri perhimpunan-perhimpunan seperti ini apabila dipanggil.
Selain itu, menurut beliau, sokongan juga harus diterjemahkan di media-media sosial yang hari ini jelas memberi impak yang besar kepada masyarakat Yahudi dan Israel itu sendiri.
“Kita akan ada gerakan seterusnya melalui media sosial yang mana kita tahu Malaysia pernah menggegarkan dunia dengan hashtag ‘Tentera Bawang Malaysia’ yang menyerang media-media sosial Israel sehingga ada yang terpaksa tutup dan block rakyat Malaysia.
“Jelas ini memberikan tekanan dan persepsi kepada dunia bahawa masyarakat dunia semakin jelas bahawa Israel merupakan penceroboh pembunuh dan juga membina sebuah negara haram yang jelas telah melanggar hak asasi manusia,” ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua DPPNM turut mengharapkan agar dengan adanya demonstrasi bantahan seperti ini di seluruh negara akan membuka mata dunia bahawa jelas Malaysia berada bersama-sama dengan dalam mempertahankan Palestin.
Himpunan turut diadakan di seluruh negara sebagai solidariti buat rakyat Palestin.
Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman yang mewakili Pesuruhjaya PAS Melaka, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, mantan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek dan beberapa orang lagi pemimpin NGO-NGO yang terlibat. – HARAKAHDAILY 13/10/2023












