Keluar PERIKATAN NASIONAL, fitnah – Dr Yadzil

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Melaka, Dr Yadzil Yaakob menafikan khabar angin yang tersebar kononnya beliau bersama Adun Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof keluar parti.

- Advertisement -

Menurutnya, perkara itu diketahui apabila seorang rakan menghantar kepadanya satu link hantaran TikTok tentang perkara itu pagi tadi.

“Untuk apa saya nak keluar daripada satu parti yang sangat komited membawa agenda rakyat; sebuah parti yang sangat prihatin kepada rakyat?

“Apa yang boleh saya yakinkan, saya kekal bersama PERIKATAN NASIONAL, kekal membawa agenda untuk memperjuangkan nasib rakyat. Ini fakta, ini bukan auta dan ini bukan fitnah ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Bemban dan Pengerusi Pimpinan Bersatu negeri berkata, hakikat sebenar yang perlu diberi perhatian oleh semua orang politik ialah isu kos sara hidup yang membebankan rakyat dan bukannya ‘berpolitik’ tidak mengira masa.

“Apa yang tuan-tuan harus percaya sekarang adalah rakyat tertekan dengan kos sara hidup; rakyat sangat terbeban; rakyat sangat dalam keadaan susah; ini fakta tuan-tuan, ini bukan auta dan ini bukan fitnah. Ini yang boleh kita percaya.

‘Di mana-mana berita berkaitan dengan kos sara hidup. Apa kerajaan buat sekarang? Dulu waktu berkempen macam-macam janji ditabur. Tak dapat tunaikan kononnya belum jadi Perdana Menteri, belum jadi kerajaan,” ujarnya

Namun, kata Dr Yadzil, selepas diberi peluang menjadi kerajaan dan menjawat jawatan Perdana Menteri semua janji-janji manis itu gagal tunaikan.

Tambahnya lagi, pihak parti kerajaan harus berhenti berpolitik dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya memberi jawapan yang berunsur sindiran terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

Antaranya, kata beliau, kenyataan dari menteri seperti ‘kalau ayam mahal jangan beli ayam’; ‘kalau telur mahal jangan beli telur’ dan ‘pendapatan susah atau rendah sebab ketagih makan luar’ menunjukkan sikap acuh tak acuh kerajaan.

Katanya lagi, rakyat kini dalam keadaan susah, sepatutnya ahli politik membantu mereka dengan baik.

“Sekali lagi saya tegaskan saya masih bersama PERIKATAN NASIONAL, terus istiqamah bersama PERIKATAN NASIONAL untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Memang tidak mudah, saya faham, hanya berdua sebagai pembangkang di Melaka, satu cabaran bagi kami. Tapi kami yakin Allah bersama kami. Niat yang ikhlas kami ini insya-Allah.

“Allah akan bantu untuk memperjuangkan nasib rakyat,” ujarnya dalam satu video penafian yang dimuatnaik di akaun TikTok beliau sebentar tadi. – HARAKAHDAILY 7/10/2023

- Advertisement -