BENTONG: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai, Cikgu Kasim Samat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, hari ini.
Beliau bersama isteri, Noratiqah Abu Bakar membuang undi di saluran 2 pusat mengundi itu pada jam 8.30 pagi ini.
Suasana cuaca cerah ketika ini memberi peluang kepada pengundi di DUN Pelangai untuk mengundi pada sebelah pagi.
Orang ramai mula kelihatan mengambil peluang untuk mengundi lebih awal dengan menuju ke pusat pengundian pada pagi ini.
Terdapat sembilan pusat pengundian dengan 30 saluran dibuka pada 8 pagi ini di mana tiga pusat mengundi berada dalam kawasan Felda iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Felda) Chemomoi, Sekolah Kebangsaan (SK)(Felda) Kemasul dan SK (Felda) Sungai Kemahal.
Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Telemong, SMK Seri Pelangai, SK Pelangai, SKJC Manchis, Dewan Serbaguna Sungai Gapoi dan Balai Raya Kampung Sungai Perdak juga adalah pusat mengundi pada PRK Pelangai.
Seramai 16,383 pengundi yang berdaftar pada PRK Pelangai untuk memilih wakil rakyat yang baharu susulan kematian Dato’ Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, pada 17 Ogos lepas.
Cikgu Kasim berdepan dengan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dan Bebas Haslihelmy DM Zulhasli pada PRK Pelangai ini. – HARAKAHDAILY 7/10/2023











