
ARAU: Perlis melancarkan kempen ‘Nat Bebas Sampah’ selaras matlamat Agenda Perlis Bersih Sihat (2021-2025) dan Tahun Melawat Perlis 2024-205 (TMP 2024/2025).
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, program tersebut bagi memupuk kesedaran peniaga terhadap aspek kebersihan di kawasan atau tapak perniagaan masing-masing.
Katanya, kempen itu menggalakkan peniaga dan orang ramai meningkatkan amalan kitar semula bagi menguruskan bahan-bahan dan sisa buangan dengan lebih baik dan teratur.
“Amalan kitar semula secara tidak langsung dapat mengurangkan janaan sampah yang dihasilkan daripada aktiviti perniagaan di nat.
“Di samping itu dapat memberi pendapatan tambahan melalui jualan bahan-bahan kitar semula di pusat-pusat serahan barang kitar semula yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Walkabout di Pasar Tani Kekal FAMA Simpang Empat, di sini, hari ini.
Menteri Besar turut berharap semua pihak memberi kerjasama bagi meningkatkan kualiti alam sekitar dan kebersihan.
“Golongan peniaga dan pembeli hendaklah bersama-sama membantu untuk mengurangkan penggunaan plastik termasuk beg-beg plastik dalam amalan pembungkusan barang-barang yang dijual-beli.
“Pembeli digalakkan membawa sendiri beg bagi mengisi barangan yang dibeli. Manakala peniaga pula digalakkan menggunakan beg plastik jenis terbiodegradasi (biodegradable) yang lebih mudah dilupuskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023











