
JERAI: Kedah mampu meningkatkan pengeluaran beras daripada 43 peratus ke 80 peratus apabila penanaman lima kali dua tahun dapat dipraktikkan sepenuhnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dengan peningkatan itu Malaysia tidak lagi bergantung kepada import beras dari luar untuk menampung keperluan negara.
“Apabila penanaman padi boleh dilaksanakan lima kali dua tahun, akan berlaku peningkatan pengeluaran beras sehingga 80 peratus bagi bekalan negara.
“Kita dapat mengawal harga dan tidak perlu bergantung kepada beras import,” katanya selepas Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Padang Lumat semalam.
LZNK mempunyai 700 relong (200 hektar) sawah, selain pakej lain (42 relong secara sewa) yang diusahakan asnaf di Sik.
Kata beliau juga kerjasama semua pihak sama ada agensi dan jabatan yang terlibat dengan sektor padi amat diperlukan bagi menjayakan hasrat itu.
Sanusi turut mengucap tahniah kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kerana berjaya menjadi model penanaman padi yang berjaya.
Menurutnya LZNK berjaya menghasilkan purata lapan tan satu hektar setiap semusim tuaian.
“Tuaian musim lepas 7.6 tan satu hektar berbanding pengeluaran padi di Kedah hanya 4.5 tan satu hektar.
“Apabila model Smart Sawah semakin berkembang maka akan cepat memecahkan monopoli rantaian industri padi serta memberi pendapatan tinggi kepada petani,” ujarnya.
Beliau juga berkata, rantaian sedia ada hanya mampu menghasilkan 4.5 tan sehektar dan selebihnya bayaran kepada kartel.
Menurutnya bercakap berkenaan kartel padi akan menimbulkan kemarahan pihak tertentu, sedangkan rakyat berdepan dengan kesukaran.
“Biarlah kalau ada orang nak marah bila saya sebut isu kartel padi. Inilah pendapatan yang hilang secara tersembunyi.
“Dahulu pada 2008 dan 2020 berlaku krisis ‘security’ makanan ,apabila negara pengeluaran beras seperti Vietnam dan Indonesia tak mampu eksport bagi menampung keperluan domestik.
“Isu sebegini perlu menjadi pengajaran agar bersama-sama berusaha tingkatkan keluaran padi tempatan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023











