
KOTA BHARU: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram perlu serius memikirkan hala tuju perjuangan Pakatan Harapan (PH).
Pemerhati politik tanah air, Dr Zulkeflee Yaacob dari Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, DAP yang menjadi sebahagian komponen PH tetap mempertahankan prinsip ‘Malaysian Malaysia’.
Katanya, konsep `Malaysian Malaysia’ dan negara sekular yang menjadi teras perjuangan DAP tidak sesuai dengan realiti politik di negara ini.
“Situasi itu juga dikesan pemimpin Umno sehingga ada yang mendesak DAP menggugurkan perkataan negara sekular dan `Malaysian Malaysia’ bagi menarik sokongan orang Melayu.
“Namun nampaknya DAP tidak mengalah, malah terus mempertahankan teras perjuangan tersebut. Ini realiti yang perlu difahami pengundi PRK di Johor,” katanya di sini.
Pada akhir Ogos lepas, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed, dilapor menyarankan supaya DAP menggugurkan agenda negara sekular dan slogan `Malaysian Malaysia’.
Katanya, DAP perlu meminda perlembagaannya dengan menggugurkan dua elemen berkenaan.
Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan tiada keperluan partinya menggugurkan slogan `Malaysian Malaysia’ seperti didesak sesetengah pihak.
Dr Zulkeflee juga berkata, pengundi Melayu dan bukan Islam yang bersikap sederhana perlu diberi kesedaran mengenai perjuangan sebenar DAP.
“Sekiranya tiada kesedaran mengenainya, dibimbangi status dan survival sebagai pribumi akan berdepan dengan cabaran kelak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/9/2023











