Kutipan derma aktiviti PAS melalui proses audit

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kutipan sumbangan bagi menjayakan aktiviti PAS merupakan budaya yang sudah lama berakar umbi dalam parti itu.

- Advertisement -

Pengarah Pusat Khidmat DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail berkata, kutipan sumbangan bukan perkara pelik kerana ia sebahagian daripada usaha berlumba-lumba membuat kebajikan sebagaimana dianjurkan Islam.

Katanya iklan sumbangan terbuka yang dibuat sebenarnya dikhususkan sebaran dalam kalangan ahli-ahli PAS.

Bagaimanapun menurutnya, iklan sumbangan itu ditular dan cuba dipolemik sebuah portal politik kerana mereka ketandusan isu.

“Naratif laporan berita itu dangkal sangat. Kalau pun iklan itu tersebar ia bukan satu kesalahan. Tetapi iklan itu daripada PAS Nibong Tebal khusus untuk ahli-ahli PAS.

“Pengurusan kewangan PAS dilakukan melalui akaun rasmi di mana ia diputuskan dalam mesyuarat yang diminitkan.

“Malah ia dibentang dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Muktamar PAS serta melalui proses audit sebagaimana ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya di sini.

Oleh itu kata beliau perkara tersebut bukan kesalahan biarpun ia cuba dimanipulasi pihak tertentu untuk menimbulkan salah sangka.

Sedangkan katanya ada parti politik mengguna logo parti bersama Jata Negara sumbangan daripada kerajaan.

“Ini nak tutup isu atau sebenarnya membutakan masalah integriti yang berlaku dalam kalangan puak sendiri. Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi. Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak?” soalnya.

Menurut beliau juga kewujudan Pusat Khidmat DUN Sungai Bakap sebagai usaha untuk meluaskan khidmat kepada masyarakat khususnya penduduk setempat.

Beliau yakin masyarakat mengenali pelbagai usaha dilakukan PAS di kawasan Parlimen itu khususnya oleh Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff.

“Nor Zamri atau lebih dikenali sebagai Abang Zam dipilih penduduk sebagai ADUN pada PRN baru-baru ini. Beliau seorang aktivis masyarakat yang aktif.

“Pihak yang kebulur isu hendak memburukkannya dinasihatkan jangan pekak telinga dan butakan mata dengan masalah pemimpin politik mereka yang jelas ada isu integriti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/9/2023

- Advertisement -