
KOTA BHARU: Wakil-wakil rakyat diharap peka terhadap golongan wanita yang kematian suami terutamanya golongan B40 bagi membolehkan mereka mendapat bantuan disediakan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata terdapat dua jenis bantuan dilaksanakan melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita.
Katanya, kerajaan negeri menyediakan bantuan bermula RM300 sehingga maksimum RM1,000 bergantung jumlah anak yang masih kecil dan di bangku persekolahan.
“Saya harap wakil-wakil rakyat dan petugas Pusat Khidmat Dun supaya peka kepada wanita kematian suami yang kini bergelar armalah.
“Armalah terbabit perlu dibantu bagi mendapat skim bantuan yang disediakan kerajaan negeri untuk meringankan sedikit bebanan kehidupan keluarga mereka,” katanya di sini.
Skim Manfaat Armalah merupakan bantuan one-off kepada wanita kematian suami dengan jumlah bantuan RM300 dengan tambahan RM100 untuk anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.
Selain itu Skim Khairat Armalah merupakan khairat untuk armalah yang meninggal dunia dan ia diberi kepada anaknya atau pewaris pada kadar yang sama.
Rohani yang juga Adun Tanjung Mas berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan Penyelaras Pembangunan Armalah DUN (PPAD) untuk menguruskan bantuan terbabit di kesemua 45 DUN di Kelantan.
“Pengurusan bantuan tersebut biasanya akan diuruskan PPAD apabila menerima maklumat kematian daripada penghulu mukim.
“Kita harap PPAD dapat bekerjasama dengan penghulu mukim bagi membolehkan bantuan kepada wanita yang baharu kematian suami dapat diagihkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2023




















