Kelantan lokasi pusat pendidikan Islam di Nusantara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berhasrat untuk muncul sebagai pusat perkembangan ilmu agama yang terkenal di Nusantara.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha ke arah itu dirintis sejak tahun 1990 dengan memberi perhatian terhadap sektor pendidikan.

- Advertisement -

“Saya memberi komitmen akan memperhebatkan usaha untuk mencapai cita-cita tersebut,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah YAKIN, Mohd Zamri Ibrahim; Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Che Kamaruddin Kamel Che Muhammad dan Rektor KIAS, Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Pada majlis itu, Menteri Besar meraikan 102 pelajar YIK lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Tahfiz al Quran (STTQ).

Selain itu seramai 17 mahasiswa KIAS turut diraikan, di mana mereka bakal melanjutkan pengajian ke tahun tiga di Universiti al Azhar, Mesir dalam bidang usuluddin dan syariah secara muadalah.

Mohd Nassuruddin juga berkata, usaha memperkasakan bidang pendidikan diperluaskan melalui penggubalan Dasar Pendidikan Rabbani.

“Insya-Allah saya yakin Dasar Pendidikan Rabbani yang digubal kerajaan negeri sebelum ini akan menjadi lonjakan utama kepada kecemerlangan pendidikan di Kelantan,” katanya.

Menurutnya juga, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan dan inisiatif kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Sementara itu pelajar YIK dijangka bertolak ke Mesir pada 3 dan 5 September ini dengan diiringi dua pegawai dari Unit Hal Ehwal Murid YIK.

Mereka terdiri daripada 61 pelajar lepasan STAM yang akan mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Islam.

Selain itu 36 pelajar lepasan Sijil Tinggi Tahfiz al Quran (STTQ) akan mengikuti pengajian dalam bidang Qiraat Syubra dan lima pelajar lepasan SPM melanjut pengajian bidang pergigian.

Asrama KIAS di Nilam Puri
Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu

Pusat Pengajian Tinggi

Kelantan pernah memiliki Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri yang ditubuhkan pada 1963 sehingga menjadi tumpuan pelajar dari seluruh nusantara termasuk Thailand dan Indonesia.

Namun selepas Barisan Nasional mentadbir negeri itu pusat pengajian terbabit diserap kepada Akademi Islam Universiti Malaya.

Bagaimanapun selepas PAS kembali mentadbir Kelantan pada 1990, usaha awal dirintis bagi mewujudkan semula Pusat Pengajian Tinggi Islam. Pada peringkat awal dikenali Maahad ad Dakwah Wal Imamah.

Kemudian dinaik taraf kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Tiga tahun lepas KIAS dinaik taraf sebagai Kolej Universiti.

Selain itu terdapat puluhan pondok pengajian agama tradisional. Antara yang terkenal Pondok Pasir Tumboh di Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 30/8/2023

- Advertisement -