
KOTA BHARU: Kerajaan negeri merakam ucapan tahniah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kerana berjaya melaksanakan penilaian dan penarafan kesemua 611 masjid di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, antara masjid yang menerima Pengiktirafan Masjid Lima Bintang iaitu Masjid Sultan Ismail Petra di Kampung Banggol.
Katanya kejayaan itu sesuatu yang amat membanggakan penduduk di Kampung Banggol yang terletak di DUN Kijang.
“Kejayaan memperolehi penarafan Masjid Lima Bintang daripada 611 masjid di seluruh Kelantan tahun ini bukan suatu perkara yang mudah.
“Ia memandangkan penilaian dan pengauditan dijalankan Penyelaras Pentadbiran Masjid Jajahan (PPMJ),” katanya yang juga Adun Kijang di sini.
Selain itu kata beliau penilaian dibuat turut mengguna pakai modul Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak tahun 2009.
Oleh itu beliau merakam penghargaan kepada pengurusan masjid khususnya imam, ahli jawatankuasa masjid dan ahli kariah yang istiqamah memakmurkan masjid berkenaan.
MAIK merupakan agensi agama paling awal melaksanakan penilaian dan penarafan masjid di negara ini. – HARAKAHDAILY 28/8/2023




















