Pertimbang semula pertukaran guru KAFA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbang semula keputusan memindahkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Kamarus Zali Koshim, berkata tindakan JAIS dilakukan dengan tergesa-gesa dan tidak bertimbang rasa terhadap sekolah terbabit.

- Advertisement -

Menurutnya, pelajar tahun lima dan tahun enam sedang melakukan persiapan akhir bagi menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

“Apabila guru yang mengajar mereka ditukarkan ke sekolah lain, ini secara tidak langsung akan mengganggu proses persiapan, pembelajaran dan fokus mereka. Ibu bapa dan penjaga turut kecewa berhubung perkara ini.

“Tindakan JAIS juga memberi kesan terhadap pentadbiran sekolah yang terpaksa menyusun semula jadual waktu mengajar, malah ada sekolah mengalami kekurangan guru akibat pertukaran ini.

“Perkara ini turut memberi kesan kepada PIBG kerana sesetengah guru yang ditukarkan memegang jawatan sebagai setiausaha dan bendahari PIBG,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan lebih harmoni JAIS membuat penyelarasan dan penyusunan semula pentadbiran setiap sekolah selepas UPKK dan PSRA selesai.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari perlu memberi perhatian terhadap perkara ini dan berbincang semula dengan JAIS supaya proses pertukaran guru ditangguhkan sehingga selesai UPKK dan PSRA,” katanya.

Laporan media Sabtu lalu memetik kenyataan JAIS yang mengesahkan seramai 125 guru KAFA di SRA daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor terlibat dalam penstrukturan baharu bagi memenuhi keperluan di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, seramai 125 guru KAFA iaitu 45 dari Sabak Bernam dan 80 guru di Kuala Selangor terlibat dalam penyusunan semula tersebut.

Katanya, penyusunan itu melibatkan pergerakan 45 guru KAFA dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, manakala 50 guru dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 lagi ke Gombak. – HARAKAHDAILY 28/8/2023

- Advertisement -