Kejayaan Terengganu tunai manifesto jadi bahan kempen PRK

- Advertisement -

MUAR: Kejayaan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) Terengganu menunaikan manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menjadi faktor utama kemenangan besar sehingga menyapu bersih 32 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat, berkata perkara itu akan menjadi modal kempen jentera PAS Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai. 

“Antara faktor kemenangan besar PAS-PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas kerana kita berjaya menunaikan semua 20 manifesto PRU14.

“Walau manifesto bukan kitab suci tetapi 20 perkara kita laksanakan dengan baik,” ujar beliau yang juga ADUN Chukai.

Kata beliau kejayaan tersebut akan dikongsi dengan pengundi di Simpang Jeram dan Pulai sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Selain itu, faktor kekuatan Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan pimpinan negeri yang mesra rakyat turut menyumbang kepada kemenangan besar PN di Terengganu baru-baru ini.

Katanya, faktor integriti yang ditunjukkan kerajaan Terengganu juga mendorong pengundi untuk terus mengundi PAS-PN.

“Sepanjang lima tahun pemerintahan kita tidak berlaku rasuah. Bermakna tatakelola kita lebih baik daripada tatakelola Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya kepada Harakahdaily di Bilik Operasi PN PRK Simpang Jeram, di sini, petang semalam.

Beliau hadir bersama jentera PN Terengganu bagi membantu kempen pada PRK Johor.

PRK Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil bagi kerusi DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi pula pada 26 Ogos dan 5 September. – HARAKAHDAILY 26/8/2023

- Advertisement -