Ustaz Harun Adun OKU pertama di Kelantan

- Advertisement -

BACHOK: Adun Tawang, Ustaz Harun Ismail mungkin wakil rakyat pertama di negara ini dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menang dalam pilihan raya.

Beliau yang mengalami kecacatan di bahagian tangan kanan, bukan dilantik sebaliknya dipilih majoriti pengundi DUN Tawang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas.

- Advertisement -

Ustaz Harun menang dengan majoriti 15,982 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Mat Isa Che Dir.

Ketika ditemui, katanya beliau tidak pernah sangsi terhadap keupayaan dirinya walaupun memiliki kekurangan fizikal berbanding individu lain.

Anak kelahiran Kampung Takang itu sekarang bergelar wakil rakyat menggantikan Dato’ Hassan Mohamood.

Malah ramai penduduk di DUN Tawang kenal siapa Ustaz Harun. Sebelum bergelar wakil rakyat beliau begitu dekat dengan penduduk kampung kerana sering membantu penduduk miskin dan berkongsi ilmu agama di musalla dan masjid di kampung-kampung.

Bagi penduduk tempatan, mereka tidak memandang kekurangan fizikal Adun Tawang boleh menghalangnya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Junairi Jaafar, 44 berkata, kekurangan yang dimiliki Ustaz Harun tidak sedikit pun menjejaskan gerak kerja sebagai seorang pemimpin dan wakil rakyat.

Mohamad Nasir (kiri) dan Junairi (kanan)

“Pada saya, kekurangan itu bukanlah halangan sebab kita bekerja bersama dalam satu jemaah. Insya-Allah Ustaz Harun dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Mohamad Nasir Yusoff, 63, memberitahu sudah lama mengenali Adun Tawang kerana personaliti menarik dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Katanya, biarpun kekurangan anggota fizikal namun Ustaz Harun sebelum ini mampu melaksanakan tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Bachok dengan baik.

“Adun baharu ini ambo sudah kenal lama dia, biar pun cacat anggota badan namun mampu melaksanakan tugas dengan baik.

“Jadi ambo yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberi rakyat pada 12 Ogos lepas,” ujarnya yang juga Penghulu Mukim Tanjung Jering. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -