
OTTAWA: Kerajaan Kanada yang menghadapi tekanan berikutan kenaikan kos perumahan, mempertimbangkan untuk menyekat visa pelajar asing yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Perumahan, Sean Fraser berkata, data rasmi menunjukkan terdapat lebih 800,000 pelajar asing dengan visa aktif pada 2022, meningkat daripada 275,000 pada 2012.
Kanada ialah destinasi popular untuk pelajar antarabangsa kerana agak mudah untuk mendapatkan permit kerja.
Fraser yang merupakan Menteri Imigresen sebelum memulakan tugas sebagai Menteri Perumahan bulan lalu, berkata peningkatan mendadak bilangan pelajar memberi tekanan yang ketara terhadap pasaran perumahan.
Ditanya sama ada had boleh dikenakan ke atas bilangan pelajar asing, beliau berkata, “Saya fikir itu adalah antara pilihan yang perlu kita pertimbangkan. Namun, kerajaan masih belum membuat keputusan.
“Kami mempunyai program imigresen sementara yang tidak pernah direka untuk melihat pertumbuhan yang begitu pesat dalam tempoh masa yang singkat,” kata Fraser kepada pemberita di luar program kerajaan di wilayah Atlantik Pulau Prince Edward.
Parti pembangkang, Konservatif yang mendahului menjelang pemilihan pilihan raya persekutuan yang mesti diadakan menjelang Oktober 2025, berkata, kerajaan Liberal Perdana Menteri, Justin Trudeau tidak melakukan secukupnya untuk menangani isu perumahan.
Kanada yang mempunyai populasi kira-kira 39.5 juta orang, merancang untuk mengambil rekod 500,000 penduduk tetap baharu pada 2025. Fraser berkata mengehadkan bilangan pendatang baharu bukan jawapannya. – REUTERS











