
‘PENYOKONG PAS mengamuk kerana kerusi mereka diberikan kepada rakan dalam PERIKATAN NASIONAL’. Inilah tajuk berita hangat dan sensasi di media-media terutamanya media baharu sejurus mereka mendapat perkhabaran maklumat ini.
Terutamanya di Dewan Undangan Negeri Kijal di mana terdapat segelintir Pemuda mulai menurunkan bendera parti tanda protes. Tidak sampai 24 jam selepas bendera diturunkan, pimpinan tertinggi negeri telah turun berjumpa petugas, memberi hujah dan penjelasan, bendera mulai dinaikan semula.
Inilah keadaan yang berlaku, walaupun situasi PAS tidak bertanding, mereka membuktikan mereka boleh menerimanya kerusi PAS Kijal diberikan kepada BERSATU. Calon yang diturunkan di sini Pengerusi BERSATU Terengganu Datuk Razali atau dikenali Tok Li.
Mereka bekerja siang dan malam, termasuklah bekas calon PAS di kerusi ini Ustaz Hazri Jusoh yang tidak dinafikan sering dilihat bersama Tok Li sepanjang kempen berlaku.
Tok Li menang bergaya menewaskan penyandang Dato’ Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu dengan kemenangan majoriti 3,758 undi.
Begitu juga di empat kerusi DUN yang wakil BERSATU diletakkan menjadi calon, N21 Telemong, Calon BERSATU Zawawi Ismail mengalahkan calon BN dengan majoriti 295, N11, mantan Menteri Besar Terengganu DS Ahmad Razif dikalahkan dengan majoriti 2,797 undi.
Manakala BERSATU menang di N.06 Permaisuri dengan majoriti yang agak besar 7,525 dan di DUN Hulu Besut, BERSATU menang 2,860 undi. Menjadikan lima kerusi yang diberikan kepada BERSATU menyaksikan BERSATU sapu bersih.
Jika dilihat keputusan di atas, membuktikan PAS membantu dan mengerahkan seluruh jentera dan tenaganya untuk memenangkan calon dari BERSATU. Tidak ada protes serius ketika kempen terutamanya selepas penamaan calon sehinggalah di hari pengundian.
Berbeza pula dengan BN atau Umno di Terengganu yang awal-awal dilihat tidak mengiktiraf calon komponen mereka atau parti-parti dalam gabungan kerajaan perpaduan. Ini dapat dilihat di hari penamaan calon lagi.
Tiada penyokong Umno keluar dan hanya segelintir penyokong parti PKR dan PAN yang keluar memberi sokongan kepada calon masing-masing. Protes dari jentera BN Terengganu berlarutan sehingga hari pembuangan undi 12 Ogos.
Dengan keputusan kekalahan teruk di kerusi-kerusi PAN dan PKR menghadapi PAS, membuktikan lagi hujah boikot antara mereka. Paling teruk calon PH di N.13 Wakaf Mempelam apabila kalah dengan majoriti 18,637 undi kepada calon PAS.
Diikuti calon PH yang bertanding di N.16 Batu Buruk apabila tewas dengan majoriti 17,668 undi kepada calon PAS Dr. Mohammad Khalil Abdul Hadi, Calon PH di N.19 juga mengalami kekalahan teruk di tangan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri dengan majoriti 17,295 undi.
PH juga gagal menidakkan kemaraan calon PAS di Manir apabila calon PH Eka Lisut tersungkur dengan majoriti 11,260 undi. Calon PH juga kena teruk dengan calon anak muda dari PAS di DUN Sura apabila mereka Osman Umar kalah dengan majoriti 13,848 undi.
Semua kawasan PH mengalami kekalahan dengan majoriti besar apabila pengundi Umno tidak memberi atau keluar mengundi di kawasan yang diletakkan calon-calon PH. Walaupun Umno gagal di semua kerusi yang ditandingi, calon-calon mereka tidaklah seteruk sekutu mereka.
Jadi kita boleh saksikan, boleh dibuktikan dalam bentuk angka, data-data keputusan PRN ini, bahawasanya Umno tidak membantu calon sekutu mereka sendiri dari PH, sebaliknya PAS membuktikan sebaliknya.
NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 18/8/2023




















