Ibrah politik dari peristiwa Karbala

- Advertisement -

DEK kerana sibuk PRN, sedar tidak sedar hari ini adalah penghujung bulan Muharram. Selain mengingati hari kemenangan Nabi Musa dan kematian Firaun, 10 Muharram juga menyaksikan tragedi politik umat yang mengorbankan nyawa Saidina Hussein di Karbala.

Kronologi

Ia adalah lanjutan fitnah besar-besaran yang telah dibimbangi oleh para Sahabat, sedari hayat Saidina Umar lagi. Bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman pada 23 Hijrah, lalu tercetus perang antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah.

Lantas Khawarij mengambil kesempatan dan berjaya membunuh Saidina Ali pada 40 Hijrah, sementara Muawiyah terselamat. Selanjutnya Tahun Penyatuan pada 41 Hijrah hasil dari jiwa besar Saidina Hasan yang berdamai dengan Muawiyah. Kemudian beliau syahid diracun pada 49 Hijrah.

Akhirnya tipu daya orang-orang Kufah, yang mahu menjebak Saidina Hussein kononnya bagi memimpin mereka demi melawan Bani Umayyah. Tipu daya tersebut akhirnya menatijahkan pembunuhan Saidina Hussein di Karbala.

Adu domba dan musuh tanpa nama

Sejarah itu sarat dengan peringatan betapa musuh dalam selimut cekap menyusup ke dalam mana-mana kelompok. Hingga kini, pelaku utama terhadap jenayah-jenayah yang menjadi punca konflik tersebut tidak dapat dikenalpasti.

Sekalipun nama Abdullah bin Saba’ terkenal sebagai pengalun orkestra fitnah, persis Abdullah bin Ubai ketika zaman Nabi masih hidup. Namun untuk mendapatkan nama-nama yang terbabit secara spesifik dan pasti, masih kabur.

Dorongan untuk percaya terhadap apa yang tidak boleh dipercayai

Senario dilema, berbelah bahagi dan keliru adalah tanda wujudnya permainan munafiqin. Begitu juga orang-orang beriman tidak terlepas dari dorongan inginkan kedudukan, hingga Saidina Hussein pun terpedaya dengan hasutan orang-orang Kufah.

Kononnya merekalah penyokong setia dan pejuang sejati Ahli Bait, yang mahu mengangkat Saidina Hussein sebagai khalifah menentang Bani Umayyah. Sedangkan mereka sudah cukup rekod untuk disifatkan sebagai kelompok yang tidak boleh dipercayai.

Daya persuasif yang mengasyikkan.

Kuatnya propaganda mereka, hingga nasihat-nasihat dari para Sahabat yang besar seumpama Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Abu Said al-Khudri, Abdullah bin Zubair, Said bin Musayyib dan lain-lain tidak berupaya merubah tekad Saidina Hussein. Beliau tetap bertekad ingin pergi ke Kufah untuk diangkat sebagai ketua di sana. Pada fikiran Saidina Hussein, beliau sangat diperlukan oleh orang-orang Kufah sebagai penyelamat mereka.

Ada riwayat yang mengatakan surat perakuan, sokongan dan desakan orang-orang Kufah untuk menyuruh Saidina Hussein bergegas ke sana mencecah 150 pucuk yang kononnya mewakili 18,000 penyokong. Ada juga yang mendakwa lebih dari itu.

Taktik mengutus surat pujukan, pujian dan menaruh harapan juga turut digunakan oleh British ketika menghasut orang-orang Islam untuk mengikuti telunjuknya. Dari sejarah seumpama itu juga memahamkan kita akan makna Hadis Nabi yang menganjurkan lempar tanah kepada pembodek, kerana ungkapan manis berlebih-lebihan itu antara teknik propaganda yang berkesan.

Berpaling dan membunuh jemputan

Setibanya Saidina Hussein di Karbala, baru beliau menyedari bahawa orang-orang Kufah telah berpaling tadah setelah diugut oleh Ubaidillah bin Ziyad. Gabenor yang keras itu menolak permintaan Saidina Hussein yang menawarkan sama ada beliau pulang ke Makkah, atau berbaiah dengan Kerajaan Bani Umayyah, atau dihantar pergi ke perbatasan perang.

Permintaan-permintaan itu semua sebagai solusi yang damai. Namun Ubaidillah ikutkan sangat hasutan pendamping yang bernama Syamir bin Zil Jausyan. Kerjanya semata-mata sebagai tukang bakar, ideanya hanya mahu bunuh Saidina Hussein.

Maka berlakulah pertempuran. Akhirnya Saidina Hussein syahid dibunuh pada 10 Muharram 61H. Seperti kata Farazdaq, kononnya hati penduduk Kufah itu bersama Hussein, tetapi pedang mereka bersama Bani Umayyah. Takdir Allah, Saidina Hussein tidak menyedari sokongan palsu itu sejak awal. Takdir itu juga membenarkan janji Nabi, bahawa Saidina Hussein adalah ketua pemuda bagi ahli syurga.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -