
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menjelaskan mengenai Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memegang portfolio kewangan.
“Jadi yang tak pasal-pasal, saya ‘ditag’ dalam Twitter, Facebook tentang Dato’ Seri Dr Samsuri pegang portfolio kewangan itu, inilah penjelasan saya,” ujarnya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam program Sinar Live bertajuk ‘Ruh ruh ruh, neh neh neh’ yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform digital Sinar Harian, malam tadi. Program itu dihoskan oleh Haizir Othman.
Menjawab pertanyaan adakah Perdana Menteri Malaysia tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan, beliau berkata: ya.
Beliau juga ditanya situasi di peringkat kerajaan negeri Terengganu.
Soalan: Di peringkat Kerajaan Negeri Terengganu kenapa? Adakah ia mempunyai setting yang berbeza?
Berikut ialah jawapan beliau.
Ya okay, terima kasih. Saya tunggulah peluang untuk saya menjelaskan perkara ini.
Kepada mana-mana yang mungkin keliru ataupun mempertikaikan perkara ini, kena bacalah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, apakah peranan Menteri Besar dan apakah peranan Pegawai Kewangan Negeri.
Jadi, dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ada sepuluh yang dipilih ataupun dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ada tiga ex-officio iaitu State Secretary, Legal Advisor dan juga Pegawai Kewangan Negeri.
Jadi dalam mesyuarat Kabinet di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri akan check di kiri kanannya sama ada Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan juga Menteri Kewangan, kena orang yang berbeza.
Jadi, sebagaimana syarikat ada CEO (ketua pegawai eksekutif) dan CFO (ketua pegawai kewangan). Jadi CFO di peringkat negeri, bukannya Pengerusi Jawatankuasa Kewangan tetapi ialah ex-officio tadi, Pegawai Kewangan Negeri yang tahu bajet kita berapa, duit kita ada lagi ke tidak, berapa hutang kita, unjuran kita berapa, soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Pegawai Kewangan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Negeri ini samalah sebagaimana Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara, sama sahaja.
Tapi yang financial controller, CFO di peringkat Persekutuan ialah Menteri Kewangan. Menteri Kewangan yang sangat besar kuasanya dan CFO di peringkat negeri, yang urus, yang sign cheque, yang tengok bajet, yang memperincikan unjuran hutang-hutang, terbitan-terbitan hasil ini, cukup tak cukup duit ini ialah Pegawai Kewangan Negeri, bukannya Pengerusi Jawatankuasa Kewangan. Peranannya tak sama dengan CFO, Menteri Kewangan. Jadi you tak boleh kata, apabila MB menjadi Pengerusi Kewangan Negeri, umpama CEO dan juga CFO orang yang sama, tidak.
Kerana dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ada sepuluh orang campur tiga orang, ada seorang yang berperanan sebagai Menteri Kewangan di Peringkat Persekutuan iaitu Pegawai Kewangan Negeri.
Jadi yang tak pasal-pasal, saya ‘ditag’ dalam Twitter, Facebook tentang Dato’ Seri Dr Samsuri pegang portfolio kewangan itu, inilah penjelasan saya. – HARAKAHDAILY 17/8/2023




















