
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan yang baharu dijangka mengangkat sumpah Selasa ini selepas PERIKATAN NASIONAL (PN) memperoleh majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, PN mengadakan perbincangan untuk memilih calon Menteri Besar yang baharu.
“Apabila dapat semua (senarai penuh), kita akan bincang. Insya-Allah, Menteri Besar baharu akan mengangkat sumpah pada 15 Ogos ini.
“Bagaimanapun, pemilihan itu tertakluk kepada perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Kemenangan PN Kelantan di Pejabat Perhubungan PAS, di sini, malam tadi.
Pada PRN tersebut, PAS (PN) menang di 43 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (Kota Lama) dan Barisan Nasional (Galas).
Sementara itu, Ustaz Ahmad mempertahankan DUN Pasir Pekan apabila meraih majoriti 12,811 undi menewaskan calon PH, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim. – HARAKAHDAILY 13/8/2023











