
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu mengikut petua Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai penyatuan ummah.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari menyeru Anwar semoga mengikut petua Tuan Guru Abdul Hadi bahawa orang Melayu bersatu sebagai bangsa yang majoriti.
“Seterusnya mengajak mereka yang bukan Melayu yang tidak ekstrem untuk bersama dalam penyatuan ummah, barulah negara boleh stabil dalam semua perkara,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, semalam.
Keputusan itu menyaksikan PERIKATAN NASIONAL menguasai Terengganu, Kelantan dan Kedah yang menewaskan calon-calon campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Terengganu mencatatkan keputusan 32-0, Kelantan (43-2) dan Kedah (33-3).
PERIKATAN NASIONAL turut mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan di Selangor apabila memenangi 22 daripada 58 kerusi, Pulau Pinang (11) dan Negeri Sembilan (5).
Ustaz Kamal juga berkata, keputusan itu memberi isyarat kepada Anwar bahawa rakyat sudah bijak menilai terhadap kerajaan campuran PH-BN yang diterajuinya.
Menurutnya, rakyat menolak politik fitnah dan persepsi di samping kecewa dengan janji yang ‘dicapati’ oleh kerajaan campuran itu.
“Sebagai peringatan, dengan dominasi DAP, maka Anwar akan digunakan untuk melaksanakan agenda DAP seperti yang semua maklum,” katanya.
Beliau menambah, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mesti mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk parti itu pada PRN kali ini
“Ahli Umno telah bagi isyarat agar Zahid meletak jawatan,” ujarnya.
Katanya, ini kerana Umno bukan lagi parti teras orang Melayu kerana tewas di semua kerusi majoriti orang Melayu.
Justeru, ujar beliau ahli umno mesti mendesak Zahid meletakkan jawatan.
“Zahid kena faham bahawa mereka yang sayangkan Umno tidak mahu beliau berlutut dengan DAP demi kesinambungan ketamakan dan kepentingan peribadi demi untuk membebaskan diri daripada belenggu 47 kes,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru kepada ahli Umno agar bersama dengan PERIKATAN NASIONAL untuk kesinambungan perjuangan Melayu, Islam dan negara. – HARAKAHDAILY 13/8/2023











