
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anak negeri di perantauan yang pulang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing kepada agama dan negeri.
“Kami mendoakan semoga anda semua selamat dalam perjalanan pulang dan kembali serta dipermudah segala urusan.
“Semoga semua pengorbanan ini dibalas dengan ganjaran yang lebih baik daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat nanti,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Alias Razak.
Beliau juga menasihatkan kepada semua rakyat negei ini terutamanya para pendukung dan penyokong PAS yang akan keluar mengundi esok untuk menjaga etika dan akhlak masing-masing.
Katanya, mereka perlu menonjolkan imej yang baik dan pekerti yang mulia sebagaimana yang diajar oleh agama dan diasuh dalam parti.
“Jangan menyertai atau terpengaruh dengan apa-apa provokasi yang boleh menjejaskan proses demokrasi sekali gus merosakkan nama baik parti kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus pada sidang media di sini, hari ini.
Mengenai aktivit kempen, jelasnya sehingga hari ini aktiviti kempen PAS yang diadakan di peringkat cawangan sehingga negeri terus mendapat sambutan yang luar biasa.
Menurutnya, ini berdasarkan beberapa senario yang telah beliau sebutkan sebelum ini, antaranya kehadiran yang ramai melibatkan pelbagai segmen pengundi, pengisytiharan kemasukan bekas ahli dan pemimpin Umno ke dalam PAS dan sokongan daripada orang-orang lama Umno di peringkat akar umbi kepada PAS.
Katanya, program ‘Murobbi Nok Jupe Chat With Me 3.0’ yang diadakan semalam melibatkan tiga tokoh besar kesayangan rakyat negeri ini, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ustaz Azhar Idrus juga menyaksikan sokongan luar biasa kepada PAS apabila Dataran Jambatan Angkat dipenuhi dengan manusia terutamanya oleh anak- anak muda.
“Insya-Allah semua mereka ini akan memberikan undi kepada PAS pada hari esok,” katanya lagi.

Dr Alias yang mewakili kepimpinan PAS dan PERIKATAN NASIONAL negeri Terengganu turut mengucapkan berbanyak terima kasih atas usaha yang bertungkus-lumus sama ada siang dan malam serta pengorbanan harta, idea, masa dan tenaga semua anggota parti demi meraih sebuah kemenangan yang diberkati.
“Semoga Allah SWT akan membalas anda semua dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas anda semua dengan balasan yang terbaik,” tambahnya.
Beliau berkata, PAS negeri juga memohon kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pengundi untuk terus memantau sebarang aktiviti berkaitan salah laku menjelang hari pengundian esok.
Jika ada, ujarnya segera laporkan kepada pihak berserta dengan bukti-bukti yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 11/8/2023











